Kia Sales Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan versi lapan-tempat duduk untuk MPV Kia Carnival facelift 2026. Model ini dijual pada harga RM238,888 (atau RM239,849 untuk harga atas jalan tanpa insuran), Jadi model ini akan berada ditengah antara model paling mewah tempat duduk yang dijual pada harga RM249k dan juga model 11-tempat duduk yang dijual pada harga RM189k. Kesemua versi Kia Carnival di Malaysia masih lagi dipasang secara tempatan (CKD) menerusi kilang Inokom di Kulim, Kedah.
Bagi model lapan-tempat duduk ini ia menerima susunan kerusi dengan konfigurasi 2-3-3, di mana baris kedua boleh dipisahkan dan digelangsarkan dengan nisbah 40:20:40 – kerusi di tengah boleh ditolak ke hadapan dan ke belakang, manakala kerusi kiri dan kanan boleh dipusingkan ke belakang. Tempat duduk baris ketiga pula boleh dipisahkan dengan nisbah 60:40 serta boleh dilipat rata ke dalam lantai.
Perincian lain yang turut diberikan pada versi lapan-tempat duduk ini termasuk paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci, sistem bunyi dengan 12-pembesar suara dari Bose, lampu suasana kabin, rim aloi 19-inci, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-hala dan larasan lumbar 4-hala bersama aliran udara dan pemanas.
Unit rangkaian kuasa pula masih sama dengan versi 7- dan 11-tempat duduk di mana ia digerakkan oleh enjin 2.2 liter turbodiesel berkuasa 202 PS/440 N, digandingkan bersama kotak gear lapan-kelajuan yang didakwa mampu mencapai kadar penggunaan bahan api 6.5 liter untuk setiap 100 km dan mencapai jarak gerak sejauh 900 km, semuanya dalam kitaran WLTP dengan setangki penuh bahan api.
Manakala untuk keselamatan, Kia Carnival lapan-tempat duduk ini menerima lapan beg-udara serta fungsi penuh sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS). Masih empat warna badan disediakan untuk Kia Carnival lapan-tempat duduk ini iaitu Meteor Gray, Snowflake White Pearl, Astra Blue dan Jet Black. Setiap pembelian model ini juga datang standard dengan waranti selama lima tahun dan 150,000 km
GALERI: Gambar rasmi
The post Kia Carnival facelift 2026 8-tempat duduk dilancarkan di Malaysia – 12 pembesar suara Bose, RM239,849 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















































