Pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz memberikan bayangan bahawa ia akan mendedahkan model generasi ketiga Mazda CX-5 buat pertama kali di sini ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 Jun nanti. Perkara ini disebut oleh wakil Bermaz dalam satu video promo di laman KLIMS dengan menyatakan bahawa syarikat itu akan mempamerkan SUV terkini Mazda “yang mungkin tiba” ke pasaran Malaysia dalam acara tersebut itu kelak.
Sebelum ini Bermaz sudahpun mengesahkan bahawa CX-5 generasi baharu berkenaan akan tiba ke pasaran Malaysia pada suku ketiga tahun ini. Ia disebut sendiri oleh Pengerusi eksekutif Bermaz Auto Tan Sri Ben Yeoh bahawa model tersebut akan ditawarkan terlebih dahulu dalam versi diimport sepenuhnya, diikuti oleh versi CKD selepas itu.
Beliau turut menjelaskan, ketika dilancarkan nanti CX-5 generasi ketiga tersebut hanya akan ditawarkan dengan 2.5 liter, dan ia akan dijual sekali bersama model generasi kedua yang tidak akan dihentikan jualannya tetapi hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter. Buat masa sekarang CX-5 generasi kedua sedia ada pada pasaran Malaysia turut ditawarkan dengan enjin 2.5 liter NA dan juga 2.5 liter Turbo selain 2.0 liter NA.
Manakala bagi Mazda CX-5 generasi ketiga yang baru dididedahkan pada peringkat global Julai tahun lalu hanya ditawarkan dengan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt. Enjin berkenaan ditala dengan kuasa 141 PS dan tork maksima 238 Nm, dialirkan ke kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan.
GALERI: Mazda CX-5 generasi ketiga di Japan Mobility Show 2025
The post Mazda CX-5 generasi ketiga akan muncul di KLIMS Jun ini sebelum dilancarkan ke pasaran Malaysia Q3 nanti? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




































