Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling sedang mengalami kelewatan disebabkan gangguan bekalan kuasa yang berlaku di antara Stesen Awan Besar dan Stesen Sri Petaling.
“Disebabkan ini, penumpang dijangka mengalami waktu menunggu yang lebih lama di platform, terutamanya antara Stesen Bandar Tasik Selatan dan Stesen Awan Besar. Pihak Rapid Rail telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang-alik percuma bagi membolehkan pengguna meneruskan perjalanan,” kata Rapid Rail dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Di mana perkhidmatan tren alternatif melibatkan tren dari Stesen Putra Heights yang akan berpatah balik di
Stesen Kinrara BK5 dengan kekerapan tujuh minit. Manakala tren dari Stesen Sentul Timur pula akan berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan dengan kekerapan 10 minit. Untuk tren perantara ulang-alik pula ia melibatkan laluan di antara Stesen Bandar Tasik Selatan dan Stesen Awan Besar serta Stesen Kinrara BK5 dan Stesen Awan Besar, masing-masing melibatkan kekerapan sekitar 15 minit.
Manakala bas perantara ulang alik yang disediakan secara percuma melibatkan antara Stesen Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, Bukit Jalil dan Seri Petaling, dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit bergantung pada keadaan trafik semasa.
“Pasukan kejuruteraan Rapid Rail sedang berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk mengembalikan operasi normal secepat mungkin. Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen untuk membantu penumpang.
“Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen. Penumpang juga disarankan untuk mendapatkan pengangkutan alternatif lain bagi meneruskan perjalanan ke destinasi dan merujuk pada laman media sosial Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini operasi,” kata Rapid Rail lagi.
The post LRT Laluan Ampang/Sri Petaling sedang alami gangguan bekalan kuasa, bas perantara diaktifkan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















