Meskipun harga diesel menunjukkan peningkatan ketara di peringkat serantau termasuk Malaysia, tiada pengesahan rasmi mengenai rancangan membawa masuk varian elektrik sepenuhnya bagi Isuzu D-Max ke pasaran tempatan. Perkara ini dimaklumkan oleh Isuzu Malaysia kepada paultan.org.
Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo, dalam satu kenyataan bertulis menjelaskan bahawa pihak syarikat masih meneliti keadaan semasa sebelum membuat sebarang keputusan lanjut. Buat masa ini, fokus utama kekal kepada penawaran teras mereka iaitu kenderaan berenjin diesel, termasuk rangkaian trak pikap D-Max yang baru sahaja dikemas kini menerusi pelancaran model 2026 di Malaysia dengan enjin turbodiesel 2.2 liter terbaru.
Pendekatan sama turut digunakan bagi varian hibrid ringkas D-Max, di mana Isuzu Malaysia tidak merancang untuk memperkenalkan versi elektrifikasi dengan enjin turbodiesel 1.9 liter itu ke pasaran tempatan.
Di Thailand, D-Max EV ditawarkan pada harga sekitar 1.591 juta baht, bersamaan kira-kira RM192,000. Model ini menggunakan sistem dua-motor yang menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork 325 Nm, dengan motor hadapan menjana 58 PS dan 108 Nm, manakala motor belakang menghasilkan 132 PS dan 217 Nm. Ia dipadankan dengan bateri lithium-ion berkapasiti 66.9 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 263 km mengikut piawaian WLTP.
Sementara itu, varian D-Max hibrid ringkas di Thailand dijual pada harga sekitar 1.145 juta baht atau kira-kira RM148,390. Model ini dikuasakan enjin RZ4E-TC MHEV 1.9 liter turbodiesel empat silinder yang menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 hingga 2,600 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik enam kelajuan.
Dalam perkembangan berkaitan, kemas kini Isuzu D-Max 2026 yang dilancarkan di Malaysia semalam menyaksikan pengenalan enjin baru RZ4F-TC 2.2 liter turbodiesel empat silinder bagi menggantikan unit 1.9 liter sebelum ini. Enjin baru tersebut digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, manakala enjin 3.0 liter turbodiesel bersama transmisi enam kelajuan masih ditawarkan untuk varian tertentu dalam barisan D-Max.
GALERI: Isuzu D-Max EV di Thailand
The post Isuzu D-Max EV, hibrid belum tentu masuk Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






































