BMW terus mengembangkan barisan kenderaan elektriknya dengan memperkenalkan varian baru bagi model iX3, iaitu iX3 40 yang kini menjadi pilihan permulaan. Model ini menyertai varian sedia ada, iX3 50 xDrive yang diperkenalkan ketika debut global SUV elektrik generasi NA5 itu September tahun lalu.
Dari segi teknologi, iX3 40 menggunakan sistem eDrive generasi keenam BMW yang dibangunkan khusus untuk platform Neue Klasse, lengkap dengan seni bina elektrik 800 volt. Varian ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 636 km mengikut piawaian WLTP, sedikit rendah berbanding iX3 50 xDrive yang mampu mencapai sehingga 805 km. Perbezaan ini disebabkan oleh kapasiti bateri yang lebih kecil pada varian baru tersebut.
Bateri jenis nikel mangan kobalt (NMC) pada iX3 40 mempunyai kapasiti tenaga boleh guna sebanyak 82.6 kWh, berbanding 108.7 kWh pada iX3 50 xDrive. Dari segi pengecasan, kuasa maksimum pengecasan pantas DC juga lebih rendah iaitu 300 kW berbanding 400 kW pada varian lebih tinggi, manakala pengecasan AC kekal pada 11 kW dan boleh dinaik taraf kepada 22 kW.
Meskipun kuasa pengecasan DC lebih rendah, masa yang diperlukan untuk mengecas dari 10 hingga 80 peratus masih sama iaitu sekitar 21 minit. Bagi pengecasan AC pada kadar maksimum 22 kW, bateri boleh dicas penuh dari 0 hingga 100 peratus dalam tempoh kira-kira empat jam 15 minit. Menariknya, fungsi pengecasan dua hala turut ditawarkan sebagai ciri standard pada iX3 40.
Seperti yang diketahui melalui namanya yang tidak menggunakan label ‘xDrive’, iX3 40 hanya dilengkapi satu motor elektrik yang memacu roda belakang. Motor ini menghasilkan kuasa sebanyak 325 PS dan tork 500 Nm, lebih rendah berbanding iX3 50 xDrive yang menawarkan 469 PS dan 645 Nm.
Dari segi prestasi, iX3 40 mencatatkan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.9 saat dengan kelajuan maksimum 200 km/j, sedikit ketinggalan berbanding varian pacuan semua roda yang lebih berkuasa.
The post BMW iX3 40 2026 – varian permulaan bagi EV generasi NA5 dengan kuasa 325 PS, WLTP sehingga 636 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















