Susulan kenyataaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menegaskan dasar pelaburan dan sektor automotif negara sebagai respons terhadap kekeliruan berkenaan pelaburan CKD BYD yang timbul awal minggu ini, Perodua hari ini menyatakan bahawa ia menyambut baik penjelasan berkenaan pendirian kerajaan tersebut terhadap Dasar Automotif Negara (NAP) dan tujuan dasar berkenaan diperkenalkan iaitu untuk menggalakkan pelaburan yang boleh memberi manfaat kepada negara.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pembuat automotif nasional dari Rawang itu, ia menyatakan bahawa dengan adanya panduan yang selari dengan NAP, ekosistem industri automotif akan menjadi lebih kukuh dan boleh mewujudkan limpahan ekonomi yang signifikan, seterusnya memberi kebaikan kepada semua pihak yang berkepentingan. Ia termasuklah membuka peluang pekerjaan yang mampan dalam jangka masa panjang, pelaburan dalam prasarana, memperkaya modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), komitmen terhadap perkongsian teknologi dan teknikal serta pembangunan usahawan tempatan membabitkan pembekal dan pengedar tempatan.
“Menerusi visi ‘Next Generation Vehicle (NxGV)’ yang digariskan di dalam NAP, rakyat Malaysia berpeluang menikmati nilai dan inovasi yang lebih hebat dalam aspek mobiliti yang mana ia boleh mendatangkan manfaat kepada majoriti rakyat di negara ini.
“Antara manfaatnya termasuklah tawaran perkhidmatan lebih luas dan memenuhi permintaan pelanggan oleh pemain industri, perkhidmatan mobiliti tambahan seperti aspek keselamatan yang dipertingkat serta integrasi mudah alih yang berasaskan teknologi Internet.
“Polisi, visi dan pelan hala tuju sedia ada yang digariskan oleh MITI berfungsi sebagai panduan yang komprehensif, telus dan konsisten untuk pemain industri automotif. Pujian harus diberikan kepada MITI di atas visinya menjadikan industri automotif Malaysia progresif dengan menyeimbangkan kemajuan dan keterbukaan untuk manfaat semua pihak,” tambah Perodua dalam kenyataan tersebut.
Dalam perkembangan yang sama Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) dan Persatuan Pengedar Perodua (PDA) turut mengeluarkan kenyataan masing-masing hari ini bagi menyokong pendirian kerajaan tersebut. P2SA, yang mewakili rangkaian pengeluar komponen automotif tempatan yang luas, menyatakan sokongan penuhnya terhadap kenyataan MITI berkenaan syarat-syarat yang ditetapkan untuk pemain CKD baharu.
Persatuan itu juga menyatakan bahawa dengan menerapkan syarat pemasangan volum tinggi secara konsisten merentasi semua jenama, tanpa mengira negara asal mereka, kementerian dapat memastikan pertumbuhan sektor kenderaan elektrik (EV) tidak menjejaskan ekosistem tempatan sedia ada.
Menurut P2SA lagi pendirian MITI tersebut akan melindungi pelaburan syarikat yang telah dicurahkan ke dalam kapasiti dan teknologi perindustrian tempatan selama bertahun-tahun, sambil menggalakkan pemain baharu untuk berintegrasi dengan pembekal Malaysia. Ia menambah bahawa pendekatan itu akan memastikan ‘pemasangan tempatan’ diterjemahkan kepada limpahan ekonomi bernilai tinggi yang tulen untuk rakyat Malaysia, bukan sekadar proses sentuhan terakhir.
Persatuan itu turut berkata bahawa ia kekal komited untuk berkembang seiring dengan NAP dan bersedia untuk menyediakan komponen dan kepakaran yang diperlukan untuk menyokong perjalanan negara ke arah mobiliti lestari, dengan ahlinya bersedia dan bersemangat untuk menerima peralihan kepada e-mobiliti.
Manakala untuk PDA, ia berterima kasih kepada MITI kerana terus menjalin kerjasama rapat dengan persatuan itu dalam membangunkan dan mengembangkan sektor automotif dan komitmennya ke arah memastikan pertubuan perniagaan dalam negara. Persatuan itu juga menyatakan bahawa kepercayaan yang ditunjukkan oleh kerajaan dan rakyat Malaysia telah membolehkan ahlinya melabur semula ke dalam negara melalui program pengembangan perniagaan dan tanggungjawab sosial.
The post Perodua sambut baik penjelasan dan komitmen MITI terhadap pembangunan industri automotif Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















