Krisis tenaga global yang masih berlarutan telah mendorong lonjakan harga minyaknmentah Brent global melebihi 40%, sehingga melepasi paras AS$100 setong. Lebih kritikal, harga minyak yang diproses (refined product) bagi petrol dan diesel juga melambung tinggi masing-masing pada harga AS$150 setong dan AS$250 setong, sekali gus memberi tekanan kepada harga jualan runcit bagi kedua-dua produk berkenaan.

Walau bagaimana pun, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa untuk tempoh 2 hingga 8 April 2026, harga runcit bagi petrol RON97 diturunkan 20 sen seliter, menjadi RM4.95 seliter.

Bagi RON95 tanpa subsidi pula, ia masih dikekalkan pada RM3.87 seliter seperti mana minggu sebelum ini. Begitu juga RON95 bersubsidi di bawah program Budi95 masih dikekalkan pada RM1.99 seliter.

Manakala diesel untuk semenanjung Malaysia pula mengalami kenaikan sebanyak 50 sen, menjadi RM6.02 seliter. Namun diesel untuk Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter.

Harga minyak 2-8 April – RON97 turun 20 sen seliter jadi RM4.95, diesel naik 50 sen seliter jadi RM6.02

Seperti yang diumumkan sebelum ini, mulai hari ini (1 April), had kelayakan Budi95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan. Kerajaan berkata pelarasan ini merupakan langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil.

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan iaitu maksimum 50 liter setiap pembelian bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam barangan dan persendirian, maksimum 100 liter setiap pembelian bagi kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi tiga tan serta maksimum 150 liter setiap pembelian untuk kenderaan melebihi tiga tan.

“Sebagai langkah interim susulan kenaikan harga diesel, Kerajaan mengekalkan bantuan tunai tambahan Budi Diesel sebanyak RM100 pada bulan April, menjadikan jumlah bantuan sebanyak RM300 kepada penerima Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi.

“Selain langkah interim ini, Kerajaan juga sedang mempertimbang langkah-langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan mekanisme subsidi kekal mampan, telus dan memanfaatkan rakyat, dengan mengambil kira perkembangan semasa krisis tenaga global serta implikasi terhadap pasaran tenaga global,” kata MOF menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

The post Harga minyak 2-8 April – RON97 turun 20 sen seliter jadi RM4.95, diesel naik 50 sen seliter jadi RM6.02 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts