Tesla Malaysia hari ini memperkenalkan versi lebih panjang untuk SUV Model Y, dikenali sebagai Tesla Model Y L ke pasaran tempatan. Model dengan konfigurasi enam-tempat duduk ini bakal berada dalam pasaran pada suku kedua 2926, dengan harga anggaran bermula RM260,000. Sebagai perbandingan model jarak roda standard paling mahal sebelum ini iaitu Premium Long Range AWD dijual pada harga RM242,450.

Dari segi dimensi Model Y L ini menampilkan panjang keseluruhan 4,976 mm, lebar 2,129 mm, tingg 1,668 mm dan jarak roda sejauh 3,040 mm. Jadi berbanding versi Model Y standard, versi L ini adalah 179 mm lebih panjang, 44 mm lebih tinggi dan jarak roda 150 mm lebih jauh. Jarak kelegaan tanah versi ini juga adalah 2 mm lebih tinggi iaitu 169 mm. Dengan badan lebih panjang dan tinggi serta tambahan satu baris tempat duduk menjadikan Tesla Model Y L ini 96 kg lebih berat kepada 2,088 kg berbanding Model Y Premium LRWD.

Selain dari rupa yang ‘sedikit pelik’ kerana lebih panjang dan bumbung belakang lebih tinggi untuk ruang kepala lebih luas, Model Y L ini turut boleh dikenali menerusi spoiler but belakang yang direka semula serta diberikan kemasan warna badan berbanding hitam pada Model Y biasa. Rekaan baharu ini turut membolehkan pekali geserannya bertambah baik pada kadar 0.216 berbanding 0.22 pada versi biasa.

Tesla Model Y L dilancar di Malaysia – jarak roda lebih jauh, 6-tempat duduk, anggaran RM260k; Q2 2026

Model Y L ini juga datang dengan set roda standard unik hanya untuknya iaitu rim aloi Machina berdiameter 19-inci. Ia dibalut dengan tayar Continental EcoContact 7 S bersaiz 255/45R19 di hadapan dan 274/45R19 di belakang. Tesla menawarkan warna Stealth Grey sebagai warna standard Model Y L ini, namun pembeli masih boleh memilih warna Pearl White, Diamond Black, Glacier Blue, Ultra Red dan Cosmic Silver sebagai pilihan opsyen yang memerlukan bayaran tambahan.

Di dalam, susunan tempat duduk dibentang dengan konfigurasi 2-2-2. Tempat baris kedua direka bebas dan terpisah yang menampilkan perehat tangan yang kecil kawalan elektrik bersama fungsi pemanas, pengalir udara dan juga larasan elektrik. Walau bagaimanapun ia tidaklah semewah tempat duduk kapten yang lazimnya diberikan pada MPV mewah, kerana tidak dilengkapi dengan perehat kaki ottoman dan juga meja lipat. Tempat duduk baris kedua ini diasingkan hanya lah untuk memudahkan akses ke tempat duduk baris ketiga.

Tempat duduk paling belakang turut diberikan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, dan ia turut menampilkan perehat kepala. Ia boleh dilaras dan dilipat rata menggunakan larasan elektrik. Dengan tempat duduk baris kedua dan ketiga yang dilipat, Tesla mendakwa bahawa Model Y L ini dapat menyediakan ruang kargo sebesar 2,539 liter, berbanding versi standard yang menampilkan hanya 2,138 liter.

Tesla Model Y L dilancar di Malaysia – jarak roda lebih jauh, 6-tempat duduk, anggaran RM260k; Q2 2026

Jika semua tempat duduk digunakan, ruang but belakang masih menampilkan ruang storan yang baik kerana ia diberikan ruang storan bawah lantai yang dalam. Juga terdapat ruang frunk yang boleh digunakan pada bahagian hadapan.

Model Y L ini juga diberikan tempat duduk dengan rekaan berbeza dengan Model Y biasa, di mana ia datang dengan perehat kepala yang bersambung dengan perehat badan, serta diberikan sokongan peha yang boleh dipanjangkan. Model Y L ini diberikan kabin berwarna hitam sepenuhnya secara standard, manakala tema Zen Grey ditawarkan sebagai pilihan opsyen.

Perincian dalaman lain yang turut diberikan secara standard termasuk pengecas telefon pintar 50W dan 30W tanpa wayar (hanya 15Wx2 pada Model Y biasa), penyejuk aktif serta sistem audio dengan 18-pembesar suara dan satu subwoofer berbanding 15-pembesar suara dan satu subwoofer pada Model Y Premium LRAWD.

Tesla Model Y L dilancar di Malaysia – jarak roda lebih jauh, 6-tempat duduk, anggaran RM260k; Q2 2026

Ia juga diberikan perincian-perincian lain yang sama seperti Model Y Premium biasa termasuk perapi dalam tekstil, upholsteri kulit sintetik, skrin sesentuh utama 16-inci, skrin sesentuh tempat duduk baris kedua lapan-inci, bumbung kaca panaromik, lampu suasana kabin, lapan kamera luaran (masih tiada fungsi 360-darjah penuh) dan juga pintu tailgate belakang dengan fungsi operasi tanpa sentuhan.

Bagi unit rangkaian kuasa pula, Model Y L ini menerima dua motor elektrik bagi memacu kesemua roda, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 5 saat, berbanding PLRAWD dengan konfigurasi sama mencatatkan masa 4.8 saat. Kelajuan maksima pula adalah sama kedua-duanya iaitu 201 km/j.

Bateri yang dibekalkan didakwa dapat memberikan jarak gerak 681 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala untuk mengecas ia boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 250 kW, dan juga pengecas AC 11 kW. Model Y L ini juga datang standard dengan sistem suspensi adaptif seperti Model Y Performance yang memberikan larasan Balanced dan Rear Comfort.

Selain dari harga, buat masa sekarang Tesla Malaysia belum mendedahkan perincian-perincian rasmi lain termasuk kuasa motor elektrik, kapasiti bateri dan sebagainya. Maklumat-maklumat ini mungkin akan disiarkan bersama harga rasmi apabila ia berada di pasaran Malaysia kelak iaitu pada suku kedua 2026 nanti.

The post Tesla Model Y L dilancar di Malaysia – jarak roda lebih jauh, 6-tempat duduk, anggaran RM260k; Q2 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts