Teka-teki mengenai model kenderaan elektrik (EV) baru oleh UMW Toyota Motor (UMWT) nampaknya semakin terjawab apabila senarai harga bagi tiga model yang sebelum ini disiarkan dalam teaser telah tersebar dalam media sosial.
Tiga model tersebut terdiri daripada Toyota Urban Cruiser EV, Toyota Hilux BEV dan Toyota bZ4X facelift. Antara yang paling mendapat perhatian ialah bZ4X versi facelift yang kini sedang dipamerkan di Bangkok International Motor Show 2026. Di Thailand, model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan roda hadapan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD), dengan harga bermula sekitar RM185,000 hingga RM200,000 selepas penukaran mata wang.
Bagi pasaran Malaysia, senarai harga yang terdedah menunjukkan varian dengan kuasa 167 kW atau 227 PS, menandakan penggunaan motor tunggal dengan konfigurasi FWD. Model ini dikatakan bakal ditawarkan pada harga sekitar RM220,000 atas jalan tanpa insurans.
Ia turut hadir dengan jaminan kenderaan selama lima tahun tanpa had perbatuan serta jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan untuk bateri, inverter dan unit kawalan elektronik (ECU) EV. Pembeli juga diberi pilihan untuk melanjutkan jaminan komponen EV ini selama dua tahun dengan bayaran RM5,700.
Sementara itu, model pikap elektrik Toyota Hilux BEV yang turut dikenali sebagai Hilux Travo-e di Thailand disenaraikan pada harga sekitar RM226,300 atas jalan tanpa insurans. Spesifikasi yang didedahkan menunjukkan kuasa gabungan 144 kW atau 196 PS hasil penggunaan dua motor, masing-masing di bahagian hadapan dan belakang.
Ia menggunakan bateri berkapasiti 59.2 kWh yang memberikan jarak pemanduan sekitar 240 km mengikut piawaian WLTP, serta menyokong pengecasan pantas DC sehingga 125 kW dan AC sehingga 11 kW. Seperti bZ4X, model ini turut dilengkapi pakej jaminan yang sama termasuk pilihan waranti lanjutan.
Melengkapkan senarai ialah Toyota Urban Cruiser EV, sebuah SUV elektrik kompak yang juga merupakan model kembar kepada Suzuki eVitara. Model ini disenaraikan pada harga sekitar RM198,000 dan dijana oleh motor tunggal pacuan hadapan dengan kuasa 128 kW atau 174 PS.
Ia menggunakan bateri berkapasiti 61 kWh dan turut menerima pakej jaminan yang sama seperti dua model lain, termasuk pilihan lanjutan perlindungan selama dua tahun tambahan. Dengan kemunculan senarai harga bagi ketiga-tiga model EV ini, pelancaran rasmi di pasaran Malaysia dijangka bakal berlangsung dalam masa terdekat.
Toyota bZ4X facelift di Bangkok Motor Show 2026
Toyota Hilux Travo-e di Bangkok Motor Show 2026
Toyota Urban Cruiser di GIIAS 2025
The post Harga EV Toyota yang bakal dilancar di M’sia tersebar appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















































































