Geely EX2 yang dilancarkan di Thailand tahun lalu kini kembali menjadi tumpuan selepas dipamerkan di acara Bangkok International Motor Show 2026. Model ini masuk ke pasaran Thailand tidak lama selepas kembarnya, Proton eMas 5, diperkenalkan secara rasmi di Malaysia pada Oktober 2025.
Untuk pameran kali ini, Geely menampilkan beberapa versi EX2 yang telah diberikan sentuhan penggayaan luaran dan kit badan berbeza. Tiga contoh yang dipamerkan memperlihatkan bagaimana model ini boleh diubah suai dari segi penampilan untuk menepati citarasa berbeza.
Unit pertama menampilkan kombinasi warna dengan sentuhan kuning dan bumbung serta tiang berwarna hitam, sekaligus memberi bayangan kaitan dengan identiti sukan permotoran Proton. Skema warna ini mengingatkan kepada divisyen Proton R3 yang dilaporkan ditutup pada Julai 2025, serta pernah digunakan pada model edisi khas seperti Saga R3 Limited Edition dan Iriz R3 Limited Edition.
Dari segi perubahan, model ini menerima kemasan pada bampar hadapan bersama splitter, skirting tepi, bampar belakang dan diffuser, selain spoiler tambahan pada pintu belakang, manakala rim dilihat masih menggunakan spesifikasi standard seperti varian Premium eMas 5.
Contoh kedua pula menampilkan pengubahsuaian lebih menyerlah dengan balutan krom pada keseluruhan badan, selain kit badan yang sama seperti unit pertama. Model ini turut kelihatan direndahkan dan dipadankan dengan rim aloi 17 inci, bersama angkup brek berwarna kuning yang memberikan penampilan lebih agresif, walaupun sistem brek dipercayai masih standard.
Sementara itu, unit ketiga tampil dengan pendekatan lebih unik apabila dilitupi fabrik berbulu berwarna merah jambu muda pada bahagian luar, sesuatu yang jarang dilihat pada kenderaan kerana biasanya digunakan untuk perabot dalaman. Menariknya, sebuah patung beruang turut diletakkan di tempat duduk belakang, seolah-olah melengkapkan tema “lembut dan comel” yang cuba diketengahkan.
Di Thailand, Geely EX2 ditawarkan dalam dua varian import sepenuhnya iaitu Pro dan Max. Kedua-duanya digerakkan oleh motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 116 PS dan 150 Nm, dipadankan dengan bateri berkapasiti 39.4 kWh.
Ini berbeza dengan Proton eMas 5 di Malaysia yang ditawarkan dengan dua pilihan trenkuasa berbeza, termasuk varian Prime dengan motor 79 PS/130 Nm dan bateri 30.12 kWh, serta varian Premium dengan bateri lebih besar berkapasiti 40.16 kWh.
The post Geely EX2 dengan kit badan dipamer di Thailand – kembar EV Proton eMas 5 diubah suai pelbagai gaya appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



































