Sempena Pameran Permotoran Antarabangsa Bangkok 2026 (BIMS 2026) yang sedang berlangsung, Geely memperkenalkan satu lagi varian bagi model Geely EX5 untuk pasaran Thailand. EX5 Max+ menjadi varian ketiga yang ditawarkan di sana selepas EX5 Pro dan EX5 Max – varian terbaru ini merupakan spesifikasi paling tinggi dan lengkap setakat ini.
Varian Max+ ini membawakan peningkatan terbaru untuk model berkenaan, iaitu bateri LFP dengan kapasiti lebih besar, 68.39 kWh Aegis bilah pendek, seperti yang diumumkan untuk model Galaxy E5 pada Julai tahun lalu. Kedua-dua varian sebelum ini menggunakan bateri dengan kapasiti 60.22 kWh.
Selain itu, varian terbaru ini juga datang dengan roda 19-inci, saiz saiz lebih besar berbanding dua varian sebelumnya. Dengan itu, harganya juga lebih tinggi: Max+ dengan harga 899,000 Baht (RM107,700), berbanding varian Max (RM101,700) dan 739,000 Baht (RM88,500) untuk Pro.
Selain Thailand, pasaran Australia juga dijangka akan menerima kapasiti bateri lebih besar untuk model ini, yang memberikan jarak perjalanan lebih jauh berbanding 490 km NEDC (sekitar 410 km WLTP) yang diberikan oleh varian dengan bateri 60.22 kWh sedia ada, menjadikannnya kepada 550 km NEDC (atau sekitar 460 km WLTP). Untuk itu, kita juga boleh jangkakan yang bateri lebih besar ini turut akan ditawarkan untuk kembarnya, Proton eMas 7 di Malaysia.
Ketika ini, model Proton terbabit ditawarkan dengan dua pilihan bateri, Prime dengan 49.52 kWh (jarak WLTP 345 km) dan Premium dengan 60.22 kWh, dengan jarak 410 km WLTP. Memandang Proton eMas 7 baru saja memasuki fasa CKD-nya di sini, pengenalan varian dengan bateri lebih besar ini mungkin akan tiba lama lagi.
Walaupun dengan bateri yang lebih besar, tiada perubahan dari segi pengecasan pantas DC untuk pasaran Thailand. Ia kekal pada kadar 100 kW, dan akan memerlukan masa 20 minit untuk pengecasan SoC 30-80%. Output juga kekal sama, dengan EX5 ini kekal memberikan janaan 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 320 Nm tork. Turut dipamerkan di BIMS 2026 ialah EX5 dengan aksesori tambahan, seperti yang dilihat dalam gambar galeri di bawah.
The post Geely EX5 Max+ tiba di Thailand — kembar Proton eMas 7 dapat bateri 68.39 kWh, 550 km NEDC, RM107k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






































