Penala rasmi bagi jenama Daihatsu iaitu D-Sport telahpun mendedahkan Daihatsu Mira e:S Tuned By D-Sport Racing ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2026 Januari lalu. Hari ini D-Sport secara rasmi mendedahkan harga bagi model istimewa tersebut, dan mengumumkan bahawa ia hanya dibina sebanyak 100 unit, dan pelanggan yang berminat untuk membeli perlu menyertai cabutan loteri terlebih dahulu, di mana pendaftaran untuk loteri tersebut turut dibuka bermula hari ini.

Daihatsu Mira e:S Tuned By D-Sport Racing ini mungkin nampak macam model varian paling asas Mira e:S B kerana hanya dipadankan dengan rim besi 14-inci yang dibalut dengan tayar 155/65R14, tanpa sebarang kit badan dikenakan. Tapi kalau anda lihat dengan lebih jelas, bahagian dalam Mira e:S Tuned By D-Sport Racing ini telah dipadankan dengan rollcage 6 poin standard dari kilang!

Model istimewa ini digerakkan dengan enjin KF-VET 660 cc tiga silinder dengan pengecas turbo dan sistem intercooler, menghasilkan kuasa tertinggi yang dihadkan untuk K-Car di Jepun iaitu 64 PS pada 6,400 rpm dan tork maksima 92 Nm pada takat 3,200 rpm. Namun enjin berkenaan menerima kotak komputer untuk enjin yang ditala khas untuknya.

Kuasa dialirkan ke hanya roda hadapan menerusi transmisi manual lima-kelajuan tanpa pilihan versi automatik, dan kotak gear tersebut turut dibekalkan dengan unit LSD secara standard bagi memberikan ‘gigitan’ pada tayar terhadap permukaan jalan raya ketika meredah selekoh.

Manakala untuk berhenti, Mira e:S istimewa ini turut diberikan tingkat taraf brek dengan penukaran angkup brek hadapan kepada angkup brek prestasi dari D-Sport.

Selain itu bagi menandakan bahawa ia bukanlah sebuah Mira e:S biasa, model istimewa ini turut diberikan tombol gear dengan kemasan plat krom, emblem D-Sport Racing dan juga pelekat nombor siri unik untuk menyatakan bahawa ia adalah salah satu unit asli dari 100 unit yang dihasilkan. Malah dalam geran juga, Mira e:S Tuned By D-Sport Racing ini akan dicatatkan perkataan ‘kai’ (改) menandakan ia telah diubahsuai dari kilang.

Model ini dibangunkan dengan kepakaran D-Sport dalam sukan bermotor dan juga kerjasama dari Daihatsu sendiri. Ia dihasilkan bagi mengambil kelebihan dari badan kereta yang ringan dan sesuai dijadikan asas untuk aktiviti sukan permotoran, namun masih lagi praktikal kerana mempunyai lima-pintu (termasuk pintu tailgate belakang) dan boleh memuatkan empat orang penumpang.

“Apa yang seronok memandu kereta ini ia adalah kereta yang lengkap dibangunkan dengan tema ‘sesuai untuk semua orang’,” kata presiden Daihatsu, Masahiro Inoue.

Daihatsu Mira e:S Tuned By D-Sport Racing ini akan dijual pada harga 2,998,600 yen (sekitar RM74k) dengan cukai. Manakala tarikh tutup untuk pendaftaran loteri adalah pada 6 April 2026 pukul 23:59.

The post Daihatsu Mira e:S Tuned By D-Sport Racing – 660cc Turbo, manual 5-kelajuan, ada LSD, <em>rollcage</em> dari kilang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts