BYD Malaysia mengumumkan pelantikan Jacob Ma sebagai pengarah urusan baru syarikat itu, yang akan bertanggungjawab mengawasi operasi jenama BYD dan Denza di pasaran tempatan. Beliau menggantikan Eagle Zhao yang kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada peranannya sebagai presiden pengarah PT BYD Motor Indonesia.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya di Malaysia, Zhao memainkan peranan penting dalam membina kehadiran BYD di pasaran tempatan. Di bawah kepimpinannya, syarikat berjaya menyerahkan lebih 30,000 kenderaan melibatkan jenama BYD dan Denza. Selain itu, rangkaian pengedar di seluruh negara turut berkembang pesat, di samping peningkatan keupayaan selepas jualan dan usaha mempercepatkan penerimaan kenderaan elektrik dalam kalangan pengguna.

Menurut Zhao, Malaysia merupakan antara fasa penting dalam perjalanan kerjayanya bersama BYD. Beliau menyatakan keyakinan bahawa asas kukuh yang telah dibina bersama rakan strategik dan pasukan tempatan akan terus memacu pertumbuhan kedua-dua jenama tersebut pada masa hadapan.

BYD Malaysia lantik Jacob Ma sebagai MD baharu

Sementara itu, Ma hadir dengan pengalaman luas dalam syarikat berkenaan. Sebelum pelantikan ini, beliau berkhidmat sebagai ketua latihan di ibu pejabat BYD di Shenzhen selama lima tahun, sebelum memegang jawatan naib presiden bahagian operasi BYD Indonesia selama dua tahun. Pada peringkat awal kerjayanya, beliau juga pernah bekerja sebagai perunding serta menimba pengalaman dalam industri penerbangan.

Dalam kenyataannya, Ma menyifatkan pelantikan ini sebagai satu penghormatan, lebih-lebih lagi ketika BYD Malaysia berada pada fasa pertumbuhan yang pesat. Beliau menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai pasaran strategik bagi kumpulan tersebut, dengan komitmen untuk menawarkan produk inovatif serta pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan.

Fokus utama beliau termasuk memperkukuh kecemerlangan operasi, meningkatkan pengalaman pelanggan dan memastikan pertumbuhan mampan bagi jenama BYD dan Denza di negara ini.

The post BYD Malaysia lantik Jacob Ma sebagai MD baharu appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts