Nampak gayanya harga minyak dunia kian ‘meroket’ akibat konflik di Asia Barat, sekaligus mendorong peningkatan harga runcit bagi bahan api utama di Malaysia. Bagi tempoh antara 19 hingga 25 Mac 2026, harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak 70 sen seliter menjadi RM4.55 seliter.
Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia dikekalkan seperti minggu sebelum ini iaitu RM3.27 seliter. Begitu juga harga runcit petrol bersubsidi RON95 yang masih kekal pada RM1.99 seliter.
Untuk harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, ia dinaikkan 80 sen seliter menjadi RM4.72 seliter untuk gred B10/B20 dan RM4.92 seliter bagi gred B7. Manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, ia masih berharga RM2.15 seliter.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa harga RON95 di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walau pun harga pasaran minyak dunia ketika ini naik ketara susulan ketegangan di Asia Barat.
Beliau turut berkata keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal, dan hasil semakan dengan Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.
The post Harga minyak 19-25 Mac – RON97 naik 70 sen seliter, diesel untuk Semenanjung naik 80 sen seliter appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















