Lotus Cars Malaysia telah umumkan kemaskini bagi barisan model Eletre dan Emeya untuk pasaran tempatan dengan ketibaan versi model tahun 2027 (MY27), Eletre 600 dan Emeya 600. Kemaskini berkenaan meliputi peningkatan dari aspek kelengkapan standard bagi kedua-dua varian paling asas tersebut.
Spesifikasi bagi kedua-dua kereta terbabit telah dipertingkat dan menampilkan barisan ciri mewah dan prestasi yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk varian yang lebih tinggi, sekali gus memberikan lebih nilai untuk pelanggan di Malaysia.
Antara tambahan yang dimaksudkan ialah spoiler belakang bersepadu aktif serta balutan kulit Nappa untuk kerusi dalam warna hitam dan tali keledar tiga warna, serta lampu ambient yang boleh dilaraskan untuk lebih sentuhan mewah dan personal. Kedua-dua model juga turut menerima pakej rim yang lebih besar, iaitu dalam saiz 22-inci untuk Eletre dan 21-inci untuk Emeya, yang dilengkapi tayar Pirelli P Zero dan angkup enam-omboh yang ditawarkan dalam warna hitam atau merah.

Ini menjadi tambahan kepada senarai sedia ada yang komprehensif untuk kedua-dua kereta. Sebagai ciri standard, Eletre 600 dan Emeya 600 lengkap dengan ciri seperti suspensi udara aktif dengan kawalan hentakan berterusan (CDC), brake-applied torque vectoring dan lampu utama LED matriks serta sistem bunyi KEF Premium dengan 15-pembesar suara. Ada juga paparan head-up dan sistem kawalan pendingin empat zon.
Tiada sebarang perubahan aspek mekanikal yang terlibat untuk Eletre — ia masih kekal dengan pacuan semua roda dengan dua motor yang menawarkan sebanyak 612 PS (603 hp atau 450 kW) dan 710 Nm. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dan mencapai laju maksimum 258 km/j.
Bateri lithium-ion dengan kapasiti 112 kWh (107 kWh boleh digunakan) menawarkan Eletre 600 hingga 580 km jarak WLTP. Untuk pengecasan, binaan elektrikal 800-volt yang ada menyokong hingga kadar 350 kW, membolehkan SoC 10%-80% dalam masa 20 minit. Pengecasan AC pula boleh dilakukan hingga 22 kW.
Untuk Emeya 600 pula, hyper GT elektrik ini mengekalkan kemaskini 2026 sebelumnya yang diperkenalkan Ogos tahun lalu, dan hanya melibatkan tambahan kepada spesifikasi tersebut. Output adalah sama seperti Eletre dengan 612 PS dan 710 N, dengan pacuan ke semua roda. Namun, ia lebih pantas dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.15 saat, dan laju maksimum 250 km/j.
Emeya 600 dilengkapi dengan bateri 102 kWh, model ini menawarkan jarak perjalanan sehingga 610 km. Seperti varian Emeya yang lain, Emeya 600 menampilkan binaan elektrikal 800-volt yang menyokong sehingga 420 kW pengecasan DC (SoC 10%-80% dalam masa 15 minit), dan sehingga 22 kW untuk pengecasan AC.
Kedua-dua Eletre 600 dan Emeya 600 ditawarkan dalam pilihan warga seperti Zenith White, Kaimu Grey dan Stellar Black, serta pilihan warna istimewa seperti Galloway Green, Boreal Grey, Fireglow Orange serta yang paling popular, Solar Yellow.
Untuk harga, Lotus Eletre 600 masih mengekalkan harga yang sama untuk varian paling asas seperti sebelum ini, RM499,000, sama ketika ia mula diperkenalkan pada Ogos tahun lalu. Bagi Emeya 600, ia melibatkan sedikit kenaikan harga dengan RM489,000 (berbanding RM459,000 sebelumnya).
Selain varian 600 ini, Eletre dan Emeya turut ditawarkan dalam varian lain seperti SE dan Sport dengan kemaskini terbarunya yang akan diumumkan kelak. Pelanggan yang berminat dengan penawaran terbaru ini boleh mendapatkan perincian lanjut di bilik pameran Lotus di Glenmarie dan Pavilion Damansara Heights.
Lotus Eletre 600 MY27
Lotus Emeya 600 MY27
The post Lotus Eletre 600 MY2027 dipertingkat, kekal RM499k — Emeya 600 juga dikemaskini untuk M’sia, RM489k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.







































































































































































