Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyiarkan data jualan kenderaan untuk bulan Februari 2026, menyaksikan sejumlah 52,414 unit kenderaan baharu telahpun diserahkan kepada pelanggan.
Jumlah tersebut mewakili penurunan sebanyak 19% daripada 64,298 unit yang direkodkan pada Januari 2026. MAA menyatakan bahawa ia adalah kerana bulan bekerja yang lebih pendek serta sambutan Tahun Baru Cina yang turut menyebabkan penutupan kilang selama seminggu dalam kalangan pengeluar.
Angka jualan Februari 2026 ini juga adalah 19% kurang berbanding bulan yang sama tahun lalu yang menyaksikan 65,052 unit terjual pada Februari 2025. Namun, jumlah jualan tahunan sehingga kini (YTD) pada tahun 2026 adalah 1% lebih tinggi berbanding tahun 2025, dengan 116,712 unit telah diserah kepada pelanggan dalam tempoh dua bulan pertama berbanding 115,501 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Bagi bulan Mac 2026, persatuan itu menjangkakan jualan akan meningkat sempena Hari Raya Aidilfitri dan promosi yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat kereta.
Dari segi pengeluaran pula sebanyak 49,741 kenderaan telah dihasilkan pada Februari 2026, iaitu 20% kurang daripada 62,090 unit yang direkodkan pada Februari 2025. Ini menjadikan jumlah pengeluaran tahunan kepada 110,607 unit, 7% kurang daripada 119,540 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.
The post Jualan kenderaan di Malaysia Februari 2026 jatuh 19%; bulan pendek dan cuti Tahun Baru Cina – MAA appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















