Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50% daripada kadar tol biasa selama dua hari iaitu bermula jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac dan berakhir jam 11.59 malam pada 19 Mac 2026 kepada para pengguna kenderaan persendirian.

Seperti kelaziman, diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Susulan dengan pengumuman tersebut, Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah ini juga diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, terutama mereka yang menempuh perjalanan jauh serta menanggung pelbagai keperluan persiapan hari raya.

Diskaun tol 50% sempena Aidilfitri; kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang, 18-19 Mac – kos pampasan RM21.03j

“Inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan bagi tujuan pembayaran balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang dianggarkan berjumlah RM21.03 juta.

“Pemilihan tarikh pelaksanaan diskaun ini bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan, selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuhraya,” katanya.

Dalam masa yang saya, beliau turut memaklumkan, bagi memastikan kelancaran operasi lebuhraya, beliau juga telah mengarahkan semua kerja penyenggaraan dihentikan sepanjang tempoh 18 hingga 30 Mac 2026. Arahan ini bertujuan memastikan trafik lebih lancar, mengelakkan lorong ditutup, serta meminimumkan gangguan kepada pengguna yang pulang ke kampung atau kembali semula ke ibu kota selepas Aidilfitri.

Diskaun tol 50% sempena Aidilfitri; kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang, 18-19 Mac – kos pampasan RM21.03j

“Sehubungan itu, pengguna lebuhraya diharap dapat merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Pengguna juga disarankan memuat turun aplikasi TuJu Navigasi Lebuh Raya LLM dan MyPLUS-TTA untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan.

“Selain itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan papan tanda, had laju, dan memberi perhatian kepada maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Bagi mereka yang menggunakan lorong Smartlane, anda diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong tersebut, memandu dengan kelajuan ditetapkan, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” katanya lagi.

Pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia di Facebook, TikTok, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752. Maklumat tambahan juga boleh didapati melalui laman sesawang rasmi LLM untuk paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik.

The post Diskaun tol 50% sempena Aidilfitri; kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang, 18-19 Mac – kos pampasan RM21.03j appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts