iCaur Malaysia telah menyerahkan lebih daripada 1,800 unit kenderaan sejak jenama itu mula memasuki pasaran Malaysia secara rasmi pada Mei tahun lalu. 03 menjadi model pertama iCaur yang dijual di sini pada September 2025, diikuti oleh V23 pada November tahun yang sama — dengan versi Retro Edition menjadi penawaran yang terkini.
“Untuk mencapai 1,800 unit kenderaan yang berada di atas jalan raya adalah sesuatu yang sangat bermakna buat iCaur Malaysia. Ia mencerminkan hubungan yang kami bangunkan bersama pemandu di seluruh negara; mereka yang menghargai rekaan menonjol, prestasi dan pengalaman pemilikan yang terserlah kelainannya.
Dalam usaha kami untuk terus berkembang, iCaur hadir untuk mempelopori segmen NEV off-road di sini melalui penawaran produk yang tersendiri dan melalui ekosistem yang juga unik,” jelas Pengarah Kanan, iCaur Malaysia, Francis Chin.
Sebagai menandakan pencapaian tersebut, syarikat itu telah menganjurkan satu perjumpaan bersama pemilik bagi meraikan serahan kenderaan iCaur yang ke-1,800 dan ke-1,801 kepada pemiliknya. Acara itu juga menandakan perasmian Kelab Pemilik iCaur Malaysia, sebuah kelab pemilik rasmi di sini.
“Pelanggan kami merangkul semangat “Born to Play” sebagai sebuah cerminan terhadap bagaimana mereka ingin menjalani kehidupan. Dengan Kelab Pemilik iCaur Malaysia, kami mencipta lebih banyak peluang untuk semua pemilik berhubung, berkongsi pengalaman dan membentuk perjalanan mereka pada masa depan,” ujar Pengarah Pemasaran, iCaur Malaysia, Daniel Lai.
The post iCaur Malaysia serah sebanyak 1,800 unit kenderaan sejak pelancarannya — perkenal kelab pemilik rasmi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
























