Bersama dengan KTNS TT Classic 150, MForce Bike Holdings Sdn Bhd turut melancarkan sebuah skuter hari ini, iaitu WMoto NX150S. Ia ditawarkan pada harga RM6,688 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km, dalam pilihan warna Grind Green, Glacier Green dan Lava Brown.
NX150S menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api penyejukan cecair 149.6 cc, yang dipadankan bersama transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 15 liter.
Meskipun dipasarkan pada harga tidak sampai RM7k, NX150S datang dengan pelbagai kelengkapan model seperti lampu LED, sistem kunci pintar, dua soket pengecas USB serta meter jenis digital LCD. Kemudiannya di bahagian keselamatan, ia dilengkapi sistem brek ABS dual-channel serta kawalan cengkaman.
Menghubungkan skuter ini dengan jalan adalah rim 13 inci yang dibalut tayar bersaiz 130/70 di hadapan dan belakang, dan ia dipegang masing-masing oleh fork teleskopik serta dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban.
Brek pada kedua-dua roda menggunakan unit cakera, manakala kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk 19 liter, dua poket barangan serta tapak beg barangan belakang.
The post WMoto NX150S dilancar di Malaysia – skuter 150 cc lengkap dengan ABS dan kawalan cengkaman, RM6.7k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






































