Seperti yang pernah dilihat melalui perbandingan antara Proton eMas 7 dan Proton X70, kenderaan elektrik (EV) menawarkan kos penyelenggaraan yang lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dalam kelas saiz yang sama.

Perkara yang sama turut berlaku kepada model lebih kecil dalam keluarga eMas, iaitu Proton eMas 5 yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu dan kini menjadi antara pilihan popular dalam kalangan pembeli kereta tahun ini.

Bagi melihat perbezaannya dengan lebih jelas, kos penyelenggaraan eMas 5 boleh dibandingkan dengan dua model popular daripada Perodua, iaitu Perodua Myvi dan Perodua Ativa. Kedua-dua model tersebut berada dalam kelas saiz yang hampir sama dengan eMas 5 serta mempunyai julat harga yang bertindih dengan model EV tersebut.

Dari segi harga, eMas 5 varian asas Prime dijual pada harga RM56,800 atas jalan tanpa insurans, manakala varian Premium pula berharga RM69,800. Harga ini adalah selepas Pro-Net melanjutkan rebat pelancaran sebanyak RM3,000 tanpa had tempoh. Bagi model Perodua pula, Myvi varian enjin 1.5 liter ditawarkan pada harga antara RM50,900 hingga RM59,900, manakala Ativa pula berada dalam julat RM62,500 hingga RM73,400.

Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun

Jika dilihat kepada kos penyelenggaraan sepanjang lima tahun, Myvi memerlukan perbelanjaan sekitar RM3,368.70 manakala Ativa pula RM3,539.30 berdasarkan jadual servis rasmi Perodua. Sebagai perbandingan, eMas 5 hanya memerlukan kos sekitar RM1,278.03 untuk tempoh yang sama. Ini bermakna kos penyelenggaraan eMas 5 adalah kira-kira 62% lebih rendah berbanding Myvi dan sekitar 64% lebih rendah berbanding Ativa.

Walaubagaimanapun, jadual servis bagi eMas 5 sedikit berbeza berbanding model Perodua tersebut. Servis pertama dilakukan pada jarak 5,000 km atau tiga bulan, manakala servis seterusnya hanya diperlukan setiap 20,000 km atau 12 bulan. Sebaliknya, Myvi dan Ativa memerlukan penyelenggaraan setiap 10,000 km atau enam bulan.

Menariknya, jadual penyelenggaraan lengkap eMas 5 sebenarnya meliputi sehingga 205,000 km atau 123 bulan penggunaan. Jika dikira untuk tempoh sepuluh tahun, jumlah kos penyelenggaraan keseluruhan hanyalah RM2,492.34, yang masih lebih rendah berbanding kos lima tahun bagi kedua-dua model Perodua tersebut.

Kos penyelenggaraan yang lebih rendah ini berpunca daripada jumlah komponen yang perlu diganti atau diservis yang jauh lebih sedikit pada EV. Dalam kes eMas 5, komponen yang disenaraikan dalam jadual servis termasuk pelincir untuk reduction gear, bendalir brek, penyejuk dan penapis kabin. Sebaliknya, kereta enjin pembakaran dalaman memerlukan lebih banyak komponen penyelenggaraan seperti minyak enjin, minyak transmisi, penapis udara enjin serta palam pencucuh.

Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun
Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun

Jadual servis Proton eMas 5 untuk lima tahun (atas), 10 tahun (bawah)

Sepanjang lima tahun penggunaan, servis paling mahal bagi eMas 5 berlaku pada jarak 85,000 km atau sekitar 51 bulan, dengan kos sebanyak RM426.36 untuk semua komponen kecuali penukaran minyak kotak gear pengurangan. Bagi Myvi pula, kos servis tertinggi berlaku pada jarak 100,000 km atau 60 bulan dengan jumlah RM727.96. Untuk Ativa, kosnya lebih tinggi pada jarak sama iaitu RM933.16, sebahagiannya disumbang oleh kos penggantian palam pencucuh.

Namun begitu, kos pemilikan sesebuah kenderaan tidak hanya terhad kepada penyelenggaraan di pusat servis. Faktor lain seperti tayar turut memainkan peranan. Secara umum, harga tayar meningkat apabila saiz rim menjadi lebih besar.

eMas 5 ditawarkan dengan rim bersaiz 15 inci bagi varian Prime dan 16 inci bagi varian Premium, dan ia tidak memerlukan tayar khusus EV yang biasanya lebih mahal. Myvi pula menggunakan rim 15 inci bagi semua varian enjin 1.5 liter, manakala Ativa hadir dengan rim bersaiz antara 16 hingga 17 inci.

Berdasarkan saiz tersebut, harga tayar untuk eMas 5 dijangka setanding dengan model enjin pembakaran dalaman. Namun, tayar pada eMas 5 mungkin mengalami kehausan lebih cepat disebabkan penghantaran tork segera daripada motor elektrik serta berat kenderaan yang lebih tinggi. Berat eMas 5 berada dalam lingkungan 1,230 hingga 1,305 kg, berbanding Myvi yang seberat sekitar 1,010 hingga 1,025 kg dan Ativa antara 1,020 hingga 1,035 kg.

Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun
Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun

Jadual servis Perodua Myvi (atas), Ativa (bawah)

Sebaliknya, penggunaan sistem brek regeneratif melalui motor elektrik berpotensi memanjangkan jangka hayat pad brek pada eMas 5 berbanding model ICE. Dari segi cukai jalan pula, eMas 5 hanya memerlukan bayaran tahunan RM30 untuk varian Prime dan RM60 bagi varian Premium. Sebagai perbandingan, cukai jalan Myvi ialah RM90 setahun manakala Ativa hanya RM20.

Selain itu, kos penggunaan harian juga boleh menjadi lebih rendah bagi EV sekiranya pengecasan dilakukan di rumah. Walaubagaimanapun, perbelanjaan bulanan boleh meningkat jika pengguna lebih bergantung kepada pengecas awam, terutamanya pengecas pantas DC yang biasanya mengenakan kadar caj lebih tinggi.

Dengan kos penyelenggaraan yang jauh lebih rendah, tidak hairanlah jika eMas 5 kini semakin mendapat perhatian pembeli di Malaysia. Persoalannya, adakah faktor ini cukup untuk mendorong lebih ramai pengguna beralih kepada kenderaan elektrik?

Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun
Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun
Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun
Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun
Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun

The post Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts