Walau pun dilancarkan pada pertengahan Disember lalu, namun baru bulan ini, TQ Wuling Bingo mula dihantar kepada pelanggan yang menempahnya. Dengan pelanggan pertama telah menerima unit pemasangan tempatan (CKD), selepas dua bulan ia dipasang di kilang TQ Manufacturing, yang merupakan anak syarikat Tan Chong, di Segambut, dalam acara penyerahannya baru-baru ini.
“Detik ini lebih daripada sekadar penyerahan kenderaan – ia melambangkan kepercayaan, keyakinan dan permulaan kepada perjalanan pemilikan. Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan pertama kami kerana mempercayai TQ Wuling dan menjadi sebahagian daripada perjalanan kenderaan elektrik (EV) kami di Malaysia,” kata ketua perniagaan, Wan Wei Sun.
Syarikat itu turut mengumumkan bahawa setiap Wuling Bingo kini hadir secara standard dengan beberapa ciri bantuan baharu seperti pemantauan titik buta, amaran trafik lintas belakang, amaran pelanggaran belakang dan amaran membuka pintu.
Ini melengkapkan fungsi keselamatan lain seperti amaran pejalan kaki akustik, sistem amaran tekanan tayar, kawalan kestabilan serta enam beg udara – menjadikan Malaysia pasaran pertama yang menerima jumlah beg udara sebanyak ini bagi model tersebut.

Walau bagaimanapun, ciri-ciri tersebut tidak boleh dianggap sebagai sistem bantuan pemandu termaju (ADAS). Ini kerana Wuling Bingo masih tidak dilengkapi fungsi seperti brek kecemasan autonomous, yang terdapat pada versi tertinggi Premium bagi pesaingnya, Proton eMas 5.
Selain itu, spesifikasi lain kekal sama seperti yang dilaporkan sebelum ini, dengan kelengkapan standard termasuk lampu utama LED automatik, rim keluli 15-inci dengan penutup hub, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan jelajah, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-arah, kemasan tempat duduk kulit tiruan, paparan instrumen dan infotainmen 10.25-inci, Apple CarPlay dan Android Auto, empat pembesar suara serta kamera undur.
Bingo digerakkan oleh motor elektrik 50 kW dengan output 68 PS dan tork 150 Nm, memberikan kelajuan maksimum cecah 100 km/j. Walau bagaimana pun, varian asas Pro menerima bateri Lithium Ferro-Phosphate (LFP) berkapasiti 31.9 kWh, yang mampu memberi jarak gerak sejauh 273 km mengikut standard WLTP (atau 333 km ikut CLTC). Sementara varian paling tinggi, Max, diberikan bateri LFP berkapasiti 37.9 kWj bagi memberikan jarak gerak 337 km juga ikut WLTP (410 km CLTC).
Untuk pengecasan, kedua-dua varian boleh dicas menggunakan pengecas AC sehingga 3.3 kW, dengan bateri yang lebih kecil memerlukan masa 5.5 jam untuk penuh, manakala bateri yang besar mengambil 9.5 jam. Walau bagaimanapun, bateri yang lebih besar itu boleh dicas dengan pengecasan pantas DC, dan status pengecasan boleh naik dari kadar 20% ke 80% dalam masa 35 minit sahaja.
Seperti mana yang diumumkan ketika pelancarannya, Bingo masih ditawarkan dengan pakej Fabulous 5 Perks di mana 400 pembeli pertama berpeluang menikmati ganjaran eksklusif antaranya rebat tunai bernilai RM5,000, menjadikan harganya dari RM62,800 untuk Bingo Pro dan Bingo Max pula bermula RM67,800. Mereka juga akan mendapat pengecas wallbox 7 kW, pengecas tiga-pin, solar tint dan 17 manfaat insurans termasuk pelindungan EV.
GALERI: TQ Wuling Bingo di Malaysia
The post TQ Wuling Bingo – unit pertama di M’sia dihantar kepada pemilik; BLIS kini standard, masih dari RM63k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















































































