Pelancaran Proton X70 MC3 bagi model tahun 2026 menyaksikan barisan SUV segmen C keluaran syarikat kereta nasional itu kini diringkaskan kepada dua varian sahaja, iaitu Executive dan Premium. Dalam galeri ini, kami memberikan fokus kepada varian Executive.
Dari segi harga, Proton X70 MC3 Executive ditawarkan pada harga RM106,800 atas jalan tanpa insurans. Proton turut memperkenalkan rebat sebanyak RM7,000 untuk 1,500 unit pertama yang didaftarkan sebelum 31 Mac, menjadikan harga efektif bagi varian ini kini RM99,800. Sementara itu, varian Premium pula ditawarkan pada harga RM112,800 atas jalan tanpa insurans.
Perubahan paling ketara dalam kemas kini MC3 ini adalah pada bahagian enjin. Proton kini menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter turbo BHE15-EFZ dengan suntikan terus daripada Geely, iaitu enjin yang sama digunakan pada model X50 dan S70 MC1.
Seperti pada model SUV dan sedan tersebut, enjin ini menghasilkan kuasa 181 PS pada 5,500 rpm dan tork 290 Nm antara 2,000 hingga 3,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi automatik klac berkembar basah tujuh kelajuan.
Berbanding enjin tiga silinder sebelum ini, unit baru ini menawarkan peningkatan kuasa sebanyak 4 PS dan 35 Nm. Proton turut menyatakan bahawa tahap bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) turut diperbaiki hasil penggunaan enjin empat silinder ini, dengan pengurangan keseluruhan NVH sebanyak 4.5%.
Dari segi kelengkapan, Proton X70 MC3 Executive dilengkapi rim aloi 18 inci yang dipadankan dengan tayar GT Radial Savero bersaiz 225/60R18. Ia juga hadir dengan pengelap cermin automatik, tempat duduk pemandu dengan pelarasan kuasa enam hala, fungsi pengudaraan tempat duduk hadapan serta kemasan tempat duduk kulit sintetik.
Turut disertakan ialah sensor parkir hadapan dan belakang, cermin pandang belakang dalaman dengan fungsi malap automatik, sistem kamera 360 darjah serta pintu but berkuasa dengan fungsi pembukaan bebas tangan yang boleh mengesan kunci. Ruang but yang ditawarkan berkapasiti 515 liter.
Bagi ciri keselamatan, varian Executive dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS) dengan pengagihan daya brek elektronik (EBD) serta bantuan brek, kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki (Hill Start Assist) dan kawalan menuruni bukit (Hill Descent Control).
Ia turut dilengkapi sistem kamera 360 darjah dengan paparan 3D serta fungsi “transparent view”, sensor parkir hadapan dan belakang serta enam beg udara yang merangkumi beg udara hadapan, sisi dan tirai. Walaubagaimanapun, varian ini tidak didatangkan dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang hanya ditawarkan pada varian Premium.
Proton turut menawarkan pakej pemilikan yang merangkumi jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta enam kali servis berkala dengan kos upah percuma. Selain itu, kenderaan ini turut disertakan pakej data selama lima tahun dengan kuota 2 GB setiap bulan.
Bagi pilihan warna luaran, kedua-dua varian Executive dan Premium bagi Proton X70 MC3 ditawarkan dalam empat warna iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey dan Marine Blue. Galeri imej langsung Proton X70 MC3 Executive boleh dilihat di bawah untuk paparan lebih terperinci model ini.
The post Proton X70 MC3 Executive – enjin empat silinder 1.5T 181 PS/290 Nm, NVH ditambah baik, RM99,800 OTR appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























































































