Jenama British milik China, MG, memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) terbarunya, MG4X, menjelang pameran Auto China yang akan berlangsung di Beijing bulan hadapan. Model ini merupakan sebuah SUV segmen B yang diletakkan di bawah MG S5 dan berada dalam keluarga MG4.
Kehadirannya dijangka bersaing secara langsung dengan model popular dalam segmen sama seperti BYD Atto 2, sekaligus menambah cabaran saingan dalam pasaran EV China. Huruf “X” pada namanya dikatakan membawa maksud “kemungkinan tanpa had”, merujuk kepada evolusi daripada bentuk hatchback MG4 kepada gaya badan SUV yang lebih praktikal.
Melihat kepada reka bentuk luar, MG4X menampilkan badan yang mengingatkan kepada MG S5, khususnya pada bahagian belakang dan siluet keseluruhan. Namun, bahagian hadapannya tampil dengan identiti tersendiri yang berbeza daripada model MG lain.
Lampu utama LED berbentuk segi tiga yang tajam disambungkan oleh jalur lampu penuh merentasi bahagian hadapan. Di bawahnya pula terdapat bukaan udara yang condong ke bawah, dikelilingi kemasan hitam berbentuk seperti tulang dengan saluran udara di bahagian bucu. Secara keseluruhan, penampilannya kelihatan lebih agresif berbanding rekaan MG4 generasi kedua yang lebih sederhana.
Maklumat mengenai ruang dalaman masih terhad, namun MG mengesahkan bahawa MG4X akan dilengkapi skrin infotainmen bersaiz besar, selari dengan trend kenderaan di pasaran China. Seperti MG4, model ini juga dijangka menawarkan fungsi pencerminan skrin telefon pintar serta integrasi yang serasi dengan peranti Oppo.
Untuk dimensi, laporan menyatakan MG4X mempunyai panjang 4,395 mm, lebar 1,842 mm dan tinggi 1,551 mm. Ini menjadikannya 85 mm lebih panjang, 12 mm lebih lebar dan 124 mm lebih rendah berbanding BYD Atto 2. Jarak roda pula adalah 2,750 mm, iaitu 130 mm lebih panjang daripada pesaing tersebut dan sama seperti MG4 hatchback.
Bagi penggerak, MG4X dijangka menggunakan bateri separa solid-state yang menawarkan tahap keselamatan lebih tinggi kerana kurang terdedah kepada risiko “thermal runaway”. Bateri ini dipercayai sama seperti yang digunakan pada MG4 Anxin, iaitu pek lithium-ion berasaskan mangan berkapasiti 53.95 kWh.
Dengan bateri tersebut, kenderaan ini dikatakan mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 510 km mengikut kitaran CLTC di China. Selain itu, MG4X juga akan ditawarkan dengan teknologi pemanduan separa autonomous daripada Horizon Robotics di pasaran domestiknya.
Setakat ini, MG belum mengumumkan rancangan rasmi untuk mengeksport MG4X ke pasaran antarabangsa. Namun, model ini berpotensi menjadi pilihan popular di peringkat global sebagai crossover elektrik yang lebih mampu milik. Potensi tersebut turut menarik perhatian di Malaysia, memandangkan MG baru sahaja memulakan pemasangan tempatan (CKD) di kilang EP Manufacturing (EPMB) di Melaka. Sekiranya MG4X turut dipasang di negara ini, ia berpeluang menikmati pengecualian cukai import dan eksais, sekali gus membuka kemungkinan untuk ditawarkan pada harga di bawah paras anggaran RM100,000.
The post MG4X didedah – SUV EV segmen B lawan BYD Atto 2, guna bateri semi-solid-state, jarak gerak CLTC 510 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















