Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, walaupun dalam keadaan harga minyak dunia sedang meningkat akibat konflik Iran-US, bekalan produk petroleum Malaysia masih cukup hingga sekurang-kurangnya Mei tahun ini, lapor NST.
“Pertama, bekalan minyak Malaysia ketika ini masih berada dalam kawalan. Ini sesuatu yang boleh kita banggakan. Ketika meninjau perkara ini dengan Petronas, kami dapati yang bekalan produk petroleum masih cukup hingga Mei 2026 nanti,” jelas beliau.
“Ini berbeza sama sekali dengan keadaan di beberapa negara lain. Sebab itu saya selalu menekankan kepentingan pengurusan yang cekap, telus dan profesional,” tambahnya.
PMX juga menyatakan bahawa konflik yang berterusan itu telah memberi kesan kepada logistik global, termasuk penutupan ruang udara untuk penerbangan komersial serta gangguan penghantaran kapal bagi minyak dan gas yang biasanya akan melalui Selat Hormuz.
Harga minyak mentah telah naik kepada USD100 setong awal minggu ini sebelum turun semula dan kekal pada kadar USD100 setong ketika ini. Ini menjadikan harga petrol RON 95 dan RON 97 tanpa subsidi naik sebanyak 60 sen kepada RM3.27 dan RM3.85 seliter bermula semalam. Diesel pula naik lebih mendadak sebanyak 80 sen kepada RM3.92. Petrol RON 95 dengan subsidi masih kekal dengan harga RM1.99 seliter buat masa ini.
The post Bekalan minyak Malaysia tahan hingga Mei — Anwar appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















