Setelah maklumat awalnya mula beredar di internet minggu ini, Proton X90 MC 2026 kini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan, dengan tiga varian ditawarkan dengan harga masing-masing seperti berikut:
- Proton X90 MC 2026 Lite (RM106,800)
- Proton X90 MC 2026 Prime (RM116,800)
- Proton X90 MC 2026 Prime X (RM122,800)
*Harga atas jalan, belum termasuk insuran.
Namun sempena pelancarannya, Proton memberikan rebat sebanyak RM7,000. Ini menjadikan harga masing-masing varian ini bermula dari RM99,800, RM109,800 dan RM115,800.
Seperti dijangka, SUV segmen D tujuh-tempat duduk Proton X90 kini menjadi model terbaru yang diberikan kemaskini yang sama seperti yang sudah dilihat dilakukan terhadap model lain keluaran syarikat itu, seperti Saga, X50, X70 dan juga yang terbaru, sedan S70.
Ketika diperkenalkan pada tahun 2023, ada empat varian X90 ditawarkan: Standard, Executive, Premium dan Flagship. Tiga varian yang lebih rendah ketika itu datang dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk (konfigurasi 2-3-2, dengan kerusi panjang di barian kedua), manakala untuk Flagship pula datang dengan enam-tempat duduk (konfigurasi 2-2-2, dengan dua kerusi kapten di barisan kedua).

Untuk rujukan, harga jualan Proton X90 terdahulu adalah seperti berikut:
- Proton X90 1.5L Standard (7-tempat duduk) – RM123,800
- Proton X90 1.5L Executive (7-tempat duduk) – RM130,800
- Proton X90 1.5L Premium (7-tempat duduk) – RM144,800
- Proton X90 1.5L Flagship (6-tempat duduk) – RM152,800
Dengan pengenalan versi 2026 ini, perbezaan harga yang terlibat adalah sekitar RM24,000 bagi varian paling asas dan sekitar RM37,000 bagi varian paling lengkap.
Dalam versi kemaskini minor change (MC) bagi X90 ini, ia juga turut menerima enjin 1.5 liter empat-silinder baru dari keluarga enjin BHE15 yang diberi nama i-GT oleh Proton. Enjin BHE15 yang dibekalkan untuk X90 2026 ini menggunakan konfigurasi yang sama seperti X50 facelift, X70 MC3 dan juga S70 MC1.
Yang dimaksudkan ialah unit enjin berkenaan dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus yang menghasilkan kuasa sebanyak 181 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksimum 290 Nm dari 2,000 rpm sehingga 3,500 rpm. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan (7DCT) yang memacu roda hadapan.

Dengan pertukaran unit enjin daripada unit 1.5L turbo GDI tiga-silinder yang digunakan terdahulu, pengenalan versi kemaskini ini juga menyaksikan X90 MC 2026 tidak lagi datang dengan sistem hibrid 48V yang digandingkan bersama enjin tersebut. Bacaan penggunaan bahan api untuk tetapan janaan kuasa baru ini ialah 6.9 liter per 100 km.
Juga, tidak seperti model kembarnya di China, Geely Hoayue, yang diberikan kemaskini dan penampilan baru yang lebih segar tahun lalu, Proton X90 MC 2026 tidak menampilkan sebarang pembaharuan atau kelainan yang ketara untuk rekaan luarannya berbanding model terdahulu di sini. Bagaimanapun, ada satu tambahan ciri berbanding model terdahulu: landasan bumbung X90 MC 2026 ini adalah tambahan terbaru, yang boleh menampung beban sehingga 75 kg.
Dengan itu, ciri luaran X90 MC 2026 ini masih terdiri daripada gril krom, lampu LED reflektor penuh dengan DRL bentuk L. Rekaan rim juga kekal sama, dan tiada lagi pilihan untuk rim lebih besar untuk varian paling tinggi ditawarkan — kini rim 18-inci adalah standard. Tayarnya kini bertukar menggunakan GitiComfort untuk versi terbaru ini.
Ukuran dimensi Proton X90 MC 2026 ini masih sama dengan 4,835 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,785 mm tinggi, dengan jarak roda 2,815 mm.
Spesifikasi setiap varian adalah seperti berikut:
- Enjin i-GT 1.5TD empat-silinder
- Transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan
- Suspensi belakang jenis multi-link
- Lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED
- Rim aloi 18-inci
- Landasan bumbung
- Skrin sentuh sistem infotainmen 12.3-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
- Tempat duduk balutan kulit buatan
- Tujuh port USB
- Enam-beg udara
- Penderia parkir belakang
- Lampu hadapan automatik
- Pengelap cermin hadapan automatik dengan penderia hujan
- Paparan instrumen dengan skrin 10.3-inci
- Tempat duduk pemandu dengan larasan elektrik enam-hala
- Kamera-360 darjah dengan paparan telus 180 darjah
- Sistem pemantau tekanan angin tayar
- Penderia parkir hadapan
- Tempat duduk balutan kulit Nappa
- Tambahan larasan lumbar pada tempat duduk pemandu
- Tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik empat-hala dengan ‘suis bos’
- Aliran udara pada tempat duduk baris pertama dan kedua
- Tempat duduk kapten untuk baris kedua
- Perehat kepala ergonomik pada tempat duduk baris pertama dan kedua
- DVR (dashcam) hadapan
Proton X90 MC 1.5TD Lite
Kelengkapan standard:

Proton X90 MC 1.5TD Prime
Ditambah:

Proton X90 MC 1.5TD Prime X
Ditambah:
Kelengkapan lain yang ada juga sama seperti sebelumnya. Antara ciri yang dimaksudkan ialah pendingin dua zon dengan kawalan pendingin berasingan di belakang untuk semua barisan tempat duduk (terletak di bumbung), sistem G-Clean dengan penapis udara N95 dan ioniser, serta tujuh slot USB. Keluasan kargo juga sama, dengan 257 liter dengan semua kerusi ditegakkan, dan boleh dilanjutkan menjadi 2,050 liter jika kerusi barisan kedua dan ketiga direbahkan.
Bagi aspek keselamatan standard, Proton X90 MC 2026 dilengkapi antaranya dengan enam beg udara, empat sensor parkir (Lite; enam sensor untuk dua varian lebih tinggi), kamera undur dan walk away auto lock. Dan bagaimana Proton menurunkan harga bagi penawaran X90 2026 adalah dengan menggugurkan semua ciri bantuan keselamatan canggih ADAS daripada spesifikasi terbaru ini (sebelumnya ditawarkan untuk varian Premium ke atas). Selain itu, ada ciri lain yang telah digugurkan – antaranya ialah sambungan 4G/WiFi, tiada juga bumbung panoramik seperti varian Flagship terdahulu, serta tiada juga pengecas telefon tanpa wayar dari varian Premium.
Proton X90 MC1 2026 diberikan lima pilihan warna badan — Quartz Black, Marine Blue, Armour Silver, Snow White dan Jet Grey. Warna Cinnamon Brown dan Ruby Red kini tidak lagi ditawarkan untuk X90. Untuk bahagian kabin dalaman pula, tema hitam adalah standard, dengan pilihan antara kerusi balutan kulit buatan atau kulit Nappa.
Proton X90 MC 2026 Prime X
Proton X90 MC 2026 Prime
Proton X90 MC 2026 — Gambar rasmi
Gambar studio
The post Proton X90 MC 2026 dilancar di Malaysia — enjin 1.5T i-GT baru, tiada mild hybrid 48V; dari RM99,800 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

































































































































































































































































