Pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan bagi tahun 2026 terus dikuasai oleh Proton apabila jenama nasional itu mengekalkan kedudukan teratas carta jualan. Pada Februari lalu sahaja, Proton mencatatkan sebanyak 1,802 unit pendaftaran EV baru, sekaligus menjadikan ia peneraju jualan bagi bulan tersebut. Secara keseluruhan setakat ini bagi tahun 2026 (YTD), Proton telah merekodkan 5,078 unit.
Sebahagian besar daripada jumlah jualan Februari itu disumbangkan oleh model Proton eMas 5, yang mencatatkan sebanyak 1,562 unit jualan sepanjang bulan berkenaan. Prestasi ini mengukuhkan lagi kedudukan Proton sebagai pemain paling dominan dalam segmen EV tempatan pada masa ini.
Di tempat kedua ialah BYD yang merekodkan 469 pendaftaran EV pada Februari, menjadikan jumlah jualan keseluruhan tahun ini sebanyak 1,382 unit. Sementara itu, iCaur berjaya naik satu anak tangga ke tempat ketiga selepas mencatatkan 294 unit jualan pada bulan yang sama, menjadikan jumlah keseluruhan tahunannya kini 745 unit.
MG pula menunjukkan peningkatan yang ketara pada Februari apabila mencatatkan jualan sebanyak 206 unit, sekaligus meningkatkan jumlah keseluruhan tahun ini kepada 375 unit. Prestasi tersebut melonjakkan jenama itu daripada kedudukan ketujuh pada Januari ke tempat keempat dalam carta bulanan Februari.
Di tempat kelima bagi jualan bulan Februari ialah Zeekr dengan 191 unit terjual. Jumlah itu menjadikan jualan terkumpul jenama tersebut bagi tahun ini sebanyak 680 unit, sekali gus meletakkannya di kedudukan keempat dalam carta keseluruhan jualan EV setakat ini. Tesla pula berada di tempat keenam bagi bulan tersebut dengan 144 unit terjual dan jumlah keseluruhan tahun ini sebanyak 320 unit.
Bagi kedudukan seterusnya, tiada lagi jenama yang berjaya melepasi angka 100 unit jualan pada Februari. Leapmotor berada di tempat ketujuh dengan 90 unit jualan bulan lalu dan jumlah keseluruhan 261 unit bagi tahun ini. Xpeng pula berada di tempat kelapan selepas merekodkan 75 unit pada Februari, menjadikan jumlah terkumpul tahunannya 172 unit.
TQ Wuling berada di kedudukan kesembilan dengan 66 unit jualan pada Februari, sebahagian besarnya didorong oleh model Bingo yang baru dilancarkan. Secara keseluruhan, jenama tersebut kini mencatatkan 101 unit bagi tahun ini. Volvo melengkapkan kedudukan 10 teratas apabila menjual 46 kenderaan elektrik pada Februari, menjadikan jumlah jualan tahunannya setakat ini sebanyak 74 unit.
Bagi kedudukan ke-11 hingga ke-14 dalam carta bulanan, jurang jualan antara jenama yang terlibat adalah sangat kecil. BMW mendahului kumpulan ini di tempat ke-11 dengan 32 unit terjual pada Februari dan jumlah keseluruhan 72 unit bagi tahun ini. Mercedes-Benz pula berada tepat di belakang dengan 31 unit jualan pada bulan sama, namun secara keseluruhan bagi tahun ini ia masih mendahului BMW dengan 114 unit terjual.
MINI dan Great Wall Motor (GWM) pula masing-masing mencatatkan 30 unit jualan pada Februari. Walaupun jumlah bulanan mereka sama, GWM berada di hadapan dalam carta keseluruhan tahun ini dengan 81 unit berbanding MINI yang mencatatkan 53 unit setakat ini.
Dongfeng berada di kedudukan seterusnya dengan 26 unit jualan pada Februari dan jumlah keseluruhan 69 unit bagi tahun ini. Di belakangnya ialah smart yang mencatatkan 25 unit jualan bulan lalu, menjadikan jumlah terkumpulnya 63 unit.
Empat kedudukan terakhir dalam senarai 20 teratas bagi bulan Februari diisi oleh Denza dengan 17 unit jualan dan jumlah keseluruhan 72 unit bagi tahun ini. Honda pula mencatatkan 11 unit jualan pada Februari tetapi belum lagi tersenarai dalam carta 20 teratas bagi jumlah keseluruhan tahun ini.
Porsche juga merekodkan 11 unit jualan bulan lalu dengan jumlah keseluruhan 43 unit setakat ini, manakala Chery melengkapkan senarai selepas berjaya menjual sembilan kenderaan elektrik pada Februari.
The post 20 jenama EV terlaris di Malaysia Februari 2026 – Proton di atas dengan 1,802 unit terjual, BYD kedua appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















