Selepas produksinya bermula di kilang Proton Tanjung Malim pada Januari lalu, Proton eMas 7 2026 dalam versi pemasangan tempatan (CKD) kini sudahpun tiba di bilik-bilik pameran Proton. Versi CKD ini bukan sahaja ditawarkan pada harga lebih rendah, malah menampilkan beberapa penambahan perincian.
Proton eMas 7 CKD ini masih ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas Prime yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM103,800 dan juga varian tertinggi Premium dijual pada harga RM119,800 – harga ini turut termasuk cukai jalan bernilai RM180 yang sebelum ini dikecualikan oleh kerajaan.
Proton turut menawarkan rebat bernilai RM4,000 menjadikan eMas 7 Prime boleh dibeli pada harga bermula di bawah RM100k iaitu pada RM99,800 dan varian Premium pula dijual pada harga RM115,800. Dan berbanding harga yang diumumkan pada pelancaran pada Disember 2024, harga bagi versi CKD ini adalah RM6k lebih murah untuk varian Prime dan RM4k lebih murah untuk Premium.
Pada asasnya versi CKD ini masih lagi nampak sama seperti eMas 7 CBU, namun ada beberapa perincian yang menandakan bahawa ia dibuat di Tanjung Malim, bukan diimport dari China. Paling mudah, anda boleh lihat pada bahagian bawah kanan cermin hadapan yang kini tiada lagi grafik mercu tanda Bandar Hangzhou.
Nombor pengenalan kenderaan (VIN) juga berbeza di mana versi CKD akan bermula dengan ‘PL1’, manakala versi CBU bermula dengan abjad L. Plat VIN yang terletak di bahagian bawah tiang-B juga berbeza di versi CKD menerima plat dari Proton, manakala versi CBU ia diberikan plat yang masih tertulis Zhejiang Geely Automobile.
Antara perincian-perincian tingkat taraf diberikan pada eMas 5 CKD 2026 ini termasuk pintu tailgate belakang bantuan kuasa kini diberikan pada varian rendah Prime, manakala untuk varian Premium, tingkat taraf diberikan pada sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan penambahan fungsi bantuan olah gerak mengelak (kenderaan akan mengubah haluan untuk mengelak pelanggaran apabilan AEB diaktifkan), amaran lintasan trafik hadapan dan juga bantuan tukar lorong aktif (kereta akan menukar lorong secara automatik selepas lampu isyarat membelok diaktifkan serta sistem sudah mengesan keadaan trafik yang mengizinkan).
Tiga fungsi baharu ADAS yang diberikan pada model 2026 ini tidak dapat diberikan pada model-model lebih awal menerusi kemaskini over-the-air (OTA) kerana ia turut melibatkan penambahan komponen tiga unit radar gelombang-milimeter baharu yang diletakkan pada bahagian tengah hadapan dan kedua-dua sisi bampar hadapan. Namun semua model 2026 ini akan terus dibekalkan dengan penutup penutup ruang kargo belakang (tonneau cover) seperti versi kemaskini tahun lalu.
Selain dari itu, perincian-perician lain pada eMas 7 CKD ini masih lagi sama seperti versi sebelumnya – lampu hadapan masih lagi tidak tertulis ‘Proton’ dan kedua-dua sisi bampar tidak menyalakan lampu seperti Geely EX5, serta tingkat taraf pada eMas 7 PHEV seperti kawalan fizikal untuk bumbung suria dan aplikasi Qiblat juga masih tidak diberikan.
Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian eMas 7 menampilkan motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dengan varian Prime diberikan bateri LFP 49.52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 345 km (WLTP), manakala varian Premium pula diberikan bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak 410 kWj (WLTP).
Varian Prime mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat manakala varian Premium sedikit lebih lambat dengan catatan 7.1 saat. Namun kedua-duanya boleh mencapai kelajuan maksima 175 km/j. Kedua-duanya juga menyokong pengecas AC dengan kadar maksima 11 kW.
Tetapi untuk pengecas pantas DC, varian Prime boleh menerima sehingga 80 kW dan Prime pula sehingga 100 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa 20 minit. Jika menggunakan pengecas AC wallbox di rumah, bateri boleh dipenuhkan dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.
Untuk pecahan spesifikasi, varian Prime menerima perincian seperti rim aloi 18-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.4-inci dengan paparan 2.5k dan sistem bantuan pemandua termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan Autonomi Tahap 2, manakala varian Premium ditambah dengan rim aloi 19-inci, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara, paparan head-up, tempat duduk hadapan berliang dan lain-lain.
Untuk pilihan warna badan dan dalaman juga ditawarkan sama seperti versi kemaskini 2025 di mana pelanggan yang memilih warna badan Lithium White, Turquoise Green, Slate Grey, Platinum Silver, Quartz Rose, dan Obsidian Black akan menerima kabin berwarna Indigo Blue, manakala pembeli varian Premium dengan warna badan Quartz Rose dan juga Turquoise Green akan ditawarkan kabin dengan warna Alabaster White.
Pro-Net turut masih menawarkan pakej jualan Power Pack+ yang merangkumi pengecas rumah 7kW percuma bernilai RM1,500, adaptor V2L percuma bernilai RM500, data internet tanpa had selama 5 tahun bernilai RM1,800, waranti tanpa had perbatuan selama 6 tahun untuk kenderaan, serta waranti 8 tahun/160,000 km untuk bateri voltan tinggi serta rebat tukar-beli bernilai RM5,000.
The post Proton eMas 7 CKD 2026 kini sudah berada di bilik pameran – RM6k lebih murah, bermula bawah RM100k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.








































