Data pendaftaran kenderaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk Februari 2026, turut menyaksikan Perodua sekali lagi menjadi jenama kereta paling laris di Malaysia.
Walau pun bilangan hari untuk Februari lebih pendek dengan musim perayaan yang menyebabkan sedikit penurunan jualan, kejatuhan mendadak Proton membolehkan peneraju pasaran itu terus menikmati jurang yang lebih besar berbanding pesaingnya, iaitu lebih daripada 10,000 unit. Secara keseluruhan, Perodua mencatatkan 23,575 pendaftaran kenderaan bulan lalu, walau menurun sekitar 2,553 unit (atau 9.8%) berbanding Januari, didorong oleh permintaan yang terus kukuh bagi model Perodua Bezza, Perodua Axia dan Perodua Myvi.
Sebaliknya, jualan Proton merosot sebanyak 6,303 unit (-31.9%) kepada 13,447 unit, berbanding paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun sebanyak 19,750 unit pada bulan sebelumnya. Akibatnya, kelebihan jualan Perodua bagi tahun setakat ini (year-to-date) telah meningkat kepada 16,506 unit, selepas menjual 49,703 kenderaan berbanding 33,197 unit oleh Proton.

Jika dua tempat teratas dimonopoli pengeluar kereta nasional, tempat ketiga pula diduduki oleh Toyota sebagai jenama bukan nasional terbaik. Pengeluar kereta terbesar dunia itu mencatatkan 6,993 unit pendaftaran bulan lalu, iaitu peningkatan 395 unit berbanding Januari. Namun begitu, terdapat kebiasaan bahawa sebahagian besar pendaftaran Toyota datang daripada kenderaan recon, bukan sepenuhnya melalui pengedaran rasmi.
Di belakangnya, Honda juga mencatat peningkatan 202 unit kepada 3,379 unit, manakala Chery kekal di kedudukan kelima dengan 938 unit (turun 349 unit). Mengekori rapat ialah Omoda & Jaecoo (901 unit, turun 386 unit) dan Mitsubishi Motors (889 unit, turun 302 unit), manakala Mercedes-Benz (659 unit), Isuzu (527 unit) dan BYD (469 unit) melengkapkan 10 teratas.
Tiada kejutan bagi baki kedudukan lain dalam senarai, dengan BMW hampir memasuki kelompok 10 teratas (449 unit). Jetour pula jatuh ke kedudukan ke-15 (297 unit) daripada kedudukan ke-11 pada Januari. Sementara itu, jenama yang kebanyakannya menawarkan kenderaan elektrik (EV) seperti iCaur (ke-16, 294 unit), MG Motor (ke-17, 279 unit) dan Zeekr (ke-20, 191 unit) terus mencatat prestasi baik ketika menjual baki stok tahun 2025, walaupun pada tahap yang sedikit lebih rendah.

The post 20 jenama kereta terlaris pada Feb 2026 – Perodua dahului Proton dengan 10k unit; diikuti Toyota, Honda appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















