Bukan sahaja pengeluar-pengeluar automotif, malah pengeluar-pengeluar komponen untuk industri automotif dari China kini sedang menghasilkan produk-produk yang boleh bersaing diperingkat global untuk berdiri sama tinggi dengan pengeluar-pengeluar dari Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun yang sudah berada lebih lama dalam industri ini.
Yang terbaharu, pengeluar tayar dari China iaitu LingLong telah membuat kejutan dengan mendahului carta ujian dalam permukaan jalan basah di Eropah, mengatasi jenama-jenama terkenal termasuk Michelin, Continental, Pirelli, Goodyear, dan Bridgestone.
Ujian berkenaan dijalankan oleh ADAC (Allgemeiner Deutscher Automobil-Club) bersama Auto Bild dan keputusannya disiarkan menerusi Tyre Review. Dalam ujian berkenaan tayar dari Linglong yang diuji iaitu Linglong Sport Master bersaiz 225/50R17 diuji pada Audi A4 Avant B9, dan satu lagi bersaiz 245/45R19 diuji pada BMW 5 Series G60.
Dalam ujian brek di atas permukaan basah bermula 80 km/j Linglong Sport Master untuk roda 17-inci berkenaan mencatatkan jarak berhenti 30.10 m, sama dengan jarak yang dicatatkan oleh Continental PremiumContact 7 dan ia merupakan terbaik dalam kelasnya. Ia diikuti oleh tayar Goodyear EfficientGrip Performance di tempat ketiga (31.30 m), Pirelli Cinturato C3 (31.80 m) dan Michelin Primacy 5 (32.70 m).
Linglong Sport Master turut cemerlang dalam ujian brek di atas permukaan konkrit yang basah dengan mencatatkan jarak membrek paling dekat dengan 32.30 m, diikuti Continental PremiumContact 7 (34.90 m), Kumho Ecsta HS52 (35.90 m), Pirelli Cinturato C3 (37.30 m) dan Falken ZIEX ZE320 (37.70 m) dalam carta 5 Terbaik.
Manakala dalam ujian akuasatah (aquaplaning), Linglong Sport Master berada pada kedudukan keempat terbaik di mana ia mula terapung di atas lopak air pada kelajuan 78.60 km/j. Tayar terbaik dalam ujian ini adalah Pirelli Cinturato C3 (79.70 km/h), dikuti Continental PremiumContact 7 (79.70 km/h) dan Vredestein Ultrac plus (79.30 km/h) di tempat ketiga.
Walau bagaimanapun untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam ujian brek permukaan basah tersebut, kompaun tayar Linglong Sport Master berkenaan menunjukkan keputusan yang tidak bagus dari segi kehausan dan juga penggunaan bahan api.
Bagi tayar untuk roda 17-inci, Linglong Sport Master dianggarkan hanya mampu bertahan untuk digunakan sejauh 26,100 km iaitu tempat terakhir berbanding 16 tayar lain yang diuji – jika anda mencatatkan penggunaan tahunan sekitar 20,000 km, mungkin tayar ini perlu ditukar setiap tahun. Sebaagi perbandingan, tayar terbaik dalam perkara ini iaitu Goodyear EfficientGrip Performance yang dianggar boleh bertahan sekali ganda lebih jauh dari Linglong Sport Master iaitu sejauh 57,800 km.
Begitu juga untuk ujian penggunaan bahan api, sekali lagi Linglong Sport Master untuk roda 17-inci berada di tempat terakhir berbanding 16 tayar lain dengan mencatat penggunaan bahan api 6.00 liter/100 km. Tayar terbaik dalam kategori ini adalah Michelin Primacy 5 yang mencatatkan 5.40 liter/100 km (ujian ini dilakukan oleh ADAC dengan memandu kenderaan dalam laluan oval bagi mendapatkan bacaan penggunaan bahan api tersebut).
Jadi dengan melihat hasil keputusan ujian-ujian tersebut secara keseluruhan, adakah anda rasa Linglong Sport Master tersebut merupakan tayar terbaik dalam kelasnya?
Di Malaysia tayar jenama Linglong boleh ditemui pada sebagai tayar standard dari kilang yang dipadankan pada beberapa model. Antaranya Leapmotor B10 yang dibekalkan dengan tayar Linglong Sport Master e, dan pengalaman kami memandu SUV EV tersebut ia memberikan prestasi yang wajar.
Model lain yang turut menerima tayar Linglong sebagai tayar standard dari kilang termasuk Proton eMas 5 dengan Linglong Comfort Master dan juga BYD Dolphin dengan Linglong Eco Master, yang pada kami kedua-duanya memberikan prestasi pemanduan yang kurang memuaskan.
The post Linglong Sport Master lebih baik dari Michelin, Pirelli, Continental, dan lain-lain dalam ujian di Eropah? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















