Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memohon maaf susulan satu video tular di media sosial berhubung kenderaan rasminya yang melanggar lampu isyarat merah di bandar Seremban baru-baru ini.
Aminuddin mengakui kadangkala pemandunya terpaksa melanggar lampu isyarat merah bagi memastikan beliau tiba di lokasi acara rasmi tepat pada waktunya, laporan Harian Metro.
Tambahnya, jadual hariannya yang padat dengan pelbagai program sehari menyebabkan pemandunya perlu mengejar masa.
“Saya akui kadangkala terpaksa melanggar lampu merah kerana perlu cepat sampai dan terdapat beberapa acara rasmi yang dirancang dalam sehari. Boleh tengok di Facebook saya, berapa program yang saya hadir dalam sehari,” katanya yang mengakui terdapat seorang pegawai polis dalam kenderaannya.
“Kita terpaksa langgar (lampu isyarat merah), tetapi dalam keadaan berhati-hati dan menggunakan isyarat yang cukup kerana hendak segera sampai ke lokasi.
“Saya minta maaf, kalau tidak saya pun tak berani langgar. Biasanya pemimpin negeri diberi kelonggaran untuk hal atau perkara tertentu,” katanya yang menambah pejabatnya juga sudah menulis surat kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan kelulusan diperlukan.
The post MB Negeri Sembilan mohon maaf adakala terpaksa langgar lampu isyarat merah untuk hadiri acara rasmi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















