Aveta hari ini melancarkan dua buah skuter, dengan salah satunya adalah Bellagio 125. Membawa gaya retro yang familiar, Bellagio 125 ini dijual pada harga RM6,998 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu Diamond White, Pistachio Green dan Carbon Black.
Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder SOHC, suntikan bahan api, penyejukan udara 124 cc bersama transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 8.7 hp pada 7,500 rpm dan tork 9.5 Nm pada 6,000 rpm. Tangki bahan api berkapasiti enam liter.
Informasi penting dipaparkan melalui skrin digital LCD di hadapan penunggang dan demi memberikan kemudahan, ia juga datang dengan soket pengecas USB C dan A, penghadang angin hadapan, ruang simpanan bawah tempat duduk serta poket barangan di bawah bahagian pemegang.
Skuter ini terletak di atas rim yang sama saiz di hadapan dan belakang, iaitu 12 inci, dibalut tayar 90/90, dan ia dipegang masing-masing fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap di belakang. Untuk brek, hanya bahagian hadapan menggunakan tetapan cakera, sementara di belakang masih menggunakan dram.
Secara keseluruhan, skuter ini mencatat berat 100 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 775 mm, menjadikan ia sesuai untuk lebih ramai pengguna.
The post Aveta Bellagio 125 dilancar untuk Malaysia – RM6,998 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






































