Proton hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 13,566 unit kenderaan sepanjang Februari 2026. Tidak dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan, namun jumlah jualan bulanan yang diumumkan oleh Proton lazimnya turut mengambilkira unit-unit yang dieksport keluar negara.
Jumlah jualan ini jelas jatuh sebanyak 31% berbanding jumlah luar biasa banyak iaitu 19,833 unit yang dicatatkan pada Januari 2026. Namun jika dibandingkan dengan Februari 2025, jualan yang dicatatkan ini sebenarnya naik sebanyak 20.8% Ini menjadikan jumlah keseluruhan Proton untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini sudahpun mencecah 33,399 unit, atau naik 57.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Proton menganggarkan Jumlah Volum Industri (TIV) 17.6% kepada 52,996 unit bulan lalu, jadi ia menganggarkan pegangan pasarannya pada Februari dianggarkan sekitar 25.6%, manakala pegangan pasaran untuk dua bulan pertama tahun ini berada pada 28.5%.
Penurunan jualan Proton bulan ini secara jelasnya adalah kerana jumlah penghantaran Proton Saga bagi Februari hanya 6,047 unit berbanding 10,285 unit pada bulan lalu. Ini membolehkan jumlah jualan tahunan Saga kini mencecah 16,332 unit hanya dalam masa dua bulan pertama tahun ini, naik 69.8% berbanding tahun lalu.
Manakala Proton X50 facelift pula merekodkan jualan sebanyak 1,842 unit pada Februari, menjadikan jumlah jualan kumulatifnya bagi dua bulan pertama tahun ini mencapai 4,271 unit, meningkat 31.1% berbanding tahun lalu.
Satu lagi sedan Proton iaitu S70 yang telahpun menerima tingkat taraf enjin yang lebih berkuasa bulan lalu terjual sebanyak 1,940 unit sepanjang Februari. Ini menjadikan jumlah jualan tahunannya untuk dua bulan pertama tahun ini naik sebanyak 3,544 unit, meningkat 51.5% berbanding tempoh sama tahun lalu. Proton menyatakan bahawa ia telah menerima sekitar 5,000 tempahan S70 MC1 yang baru dilancarkan pada 11 Februari lalu.
“Proton memulakan 2026 dengan prestasi yang kukuh hasil permintaan berterusan terhadap barisan model baharu kami. Pada masa sama, usaha menambah baik pengalaman pelanggan di bilik pameran dan pusat servis terus menjadi keutamaan.
“Dalam tempoh terdekat, fokus kami adalah untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan dengan meningkatkan pengeluaran dan penghantaran setiap bulan tanpa menjejaskan kualiti produk. Pelaburan yang dibuat di Tanjong Malim memberi keyakinan kepada kami untuk memenuhi permintaan pasaran,” kata CEO Proton Edar, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.
Proton turut mengumumkan bahawa aplikasi Proton Link 2.0 telah dikemas kini pada awal Mac bagi membolehkan pelanggan membuat tempahan servis secara terus dengan rangkaian pusat 3S/4S PROTON di seluruh negara.
“Selain produk baharu, Proton turut memberi perhatian kepada pengalaman pemilikan secara menyeluruh. Daripada kemudahan bilik pameran dan pusat servis yang lebih selesa hingga kepada kemudahan dalam talian, kami komited memastikan pengalaman memiliki kenderaan Proton lebih mudah dan memuaskan,” tambah beliau.
The post Proton jual 13,566 unit kenderaan untuk Februari 2026 – 6,047 unit Saga MC3 dihantar kepada pelanggan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















