Pengecas kenderaan elektrik pantas Tesla Supercharger kini sudahpun dibuka untuk digunakan pada EV bukan jenama Tesla di Malaysia. Namun buat masa sekarang servis tersebut hanya dibuka pada Tesla Supercharger di lokasi terpilih, dan semuanya masih dalam kawasan Lembah Klang.

Lokasi-lokasi tersebut adalah di Shah Alam (i-City Finance Avenue), Kuala Lumpur (Pavilion KL), Putrajaya (IOI City Mall) dan juga Dengkil (Gamuda Cove).

Berdasarkan harga yang ditunjukkan dalam aplikasi, pemilik EV bukan Tesla perlu membayar RM1.80 untuk satu kWj bagi mengecas kereta mereka menggunakan Tesla Supercharger tersebut. Turut terdapat caj kesesakan dikenakan sehingga RM2.00 seminit sekiranya lokasi berkenaan sedang sibuk.

Pengecas Tesla Supercharger ini lazimnya berkadar 250 kW dan menggunakan penyambung jenis CCS2. Untuk menggunakannya pemilik EV bukan Tesla perlu memuat turun aplikasi Tesla (iOS, Android) dan perlu membuat pendaftaran akaun Tesla.

Cara-cara menggunakannya adalah seperti berikut:

  • Muat turun dan pasang aplikasi Tesla
  • Daftar akaun Tesla
  • Pilih ‘Charge Your EV’ dan cari lokasi Supercharger anda.
  • Tambah kaedah pembayaran anda.
  • Palamkan penyambung pada kenderaan anda.
  • Pilih pegun dan tekan ‘Start Charging.’
  • Pilih ‘Stop Charging’ untuk melengkapkan sesi pengecasan anda.

Jika anda juga kini memiliki kenderaan Tesla dan anda ingin mengecas EV bukan Tesla anda yang lain, buka aplikasi Tesla dan tekan menu di bahagian atas sebelah kanan untuk mencari pilihan ‘Charge Your Other EV’.

Juga terdapat promosi “Get Supercharged” yang sedang berlangsung di mana jika anda menyertai peraduan tersebut, anda boleh memenangi kredit Supercharging bernilai 1,500 km hanya dengan menyertainya.

Penawaran terbaharu yang dibuat oleh Tesla Malaysia ini adalah selari dengan salah satu syarat untuk pengecualian AP Tesla di bawah program BEV Global Leaders, iaitu ia perlu memasang sekurang-kurangnya 50 unit pengecas pantas DC dengan kuasa pengecasan minimum 180 kW, dengan sekurang-kurangnya 30% daripadanya terbuka kepada orang ramai dan untuk digunakan oleh EV daripada jenama lain.

The post Pengecas Tesla Supercharger kini dibuka untuk EV bukan Tesla di Malaysia – lokasi terpilih, RM1.80/kWj appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts