Skuter gaya adventure Honda X-ADV bagi tahun 2026 tampil dengan kemas kini warna untuk pasaran Malaysia. Harga jualan cadangan yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda adalah bermula daripada RM70,999, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Dua pilihan warna baru iaitu Matte Deep Mud Grey dan Graphite Black ditawarkan pada harga RM70,999, manakala warna Matte Pearl Glare White diletakkan pada harga RM71,999. Selain pilihan warna ini, tiada perubahan dibuat dari segi spesifikasi teknikal atau kelengkapan.
Kuasa masih dijana oleh enjin dua silinder selari berkapasiti 745 cc dengan sistem penyejukan cecair, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT). Enjin ini menghasilkan 57.8 hp pada 6,750 rpm dan 69 Nm tork pada 4,750 rpm, serta mematuhi piawaian emisi Euro 5.
Sistem DCT Honda menawarkan lima tahap tetapan. Tahap 1 memberikan karakter paling santai, manakala Tahap 4 menukar gear pada rpm lebih tinggi serta melakukan penurunan gear lebih awal untuk kesan brek enjin yang lebih ketara.
Tahap 2 disepadukan dengan mod tunggangan Standard, sementara Tahap 3 berada di antara Standard dan Sport. Respons pendikit turut diperhalusi untuk memudahkan pergerakan dari keadaan pegun dan kawalan pada kelajuan rendah di bawah 10 km/j, khususnya ketika membuat pusingan U.
Berat keseluruhan X-ADV disenaraikan pada 236 kg termasuk 13.2 liter bahan api di dalam tangki. Ketinggian tempat duduk standard ialah 820 mm dengan reka bentuk yang direndahkan di bahagian sisi untuk memudahkan kaki mencecah tanah. Pilihan tempat duduk tinggi pada 920 mm turut disediakan.
Dari segi kemudahan, model ini dilengkapi sistem Smart Key Honda, ruang simpanan di bahagian hadapan, ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 22 liter serta soket pengecas USB-C. Lampu isyarat juga berfungsi sebagai lampu nyalaan siang (DRL) dan dilengkapi ciri pembatalan automatik yang beroperasi berdasarkan perbezaan kelajuan roda hadapan dan belakang ketika membelok, bukan sekadar pemasa.
Empat mod tunggangan ditawarkan iaitu Standard, Sport, Rain dan Gravel, bersama satu mod User yang membolehkan penunggang melaras penghantaran kuasa, tahap brek enjin, ABS dan kawalan cengkaman. Sistem kawalan cengkaman mempunyai tiga tahap intervensi serta pilihan untuk dimatikan sepenuhnya. Tahap 1 membenarkan sedikit gelinciran roda belakang manakala Tahap 3 memberikan kawalan maksimum di permukaan licin.
Sistem brek ABS dua saluran adalah standard, dengan cakera berkembar 296 mm dan angkup empat piston di hadapan, serta cakera 240 mm dengan angkup satu piston di belakang. Suspensi menggunakan fork jenis USD di hadapan dan monoshock di belakang, melengkapkan pakej skuter pengembaraan serba moden.
The post Honda X-ADV pasaran M’sia dapat warna baru – RM71k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























