Pelancaran Proton Saga MC3 pada November lalu bukan sahaja membawa kemas kini kepada sedan segmen A popular itu, malah membuka laluan kepada beberapa model baru yang bakal dibangunkan berasaskan platform Advanced Modular Architecture (AMA). Di bawah pelan ini, tiga kod nama telah didedahkan iaitu AMA02, AMA05 dan AMA06.
Sebelum ini, Proton memaklumkan bahawa dua daripada model berkenaan ialah SUV, manakala satu lagi merupakan MPV. Platform AMA yang bersifat modular membolehkan jarak roda dan lebar trek dilanjutkan sehingga 290 mm, sekaligus memberi fleksibiliti untuk membangunkan pelbagai jenis kenderaan daripada asas yang sama.
Pereka digital automotif, Theophilus Chin, kini tampil dengan gambaran awal bagaimana rupa MPV berasaskan Saga ini. Sebelum ini beliau turut menghasilkan interpretasi “Saga Cross”. Untuk versi MPV ini, nama “Ersaga” digunakan pada plat nombor, dipercayai gabungan nama Ertiga dan Saga.
Rekaan yang dihasilkan mengambil bentuk asas Suzuki Ertiga generasi kedua, model MPV yang sebelum ini turut dijenamakan semula sebagai Proton Ertiga untuk pasaran tempatan. Theo kemudian menggabungkan elemen wajah hadapan Saga MC3 termasuk gril, lampu utama dan bampar hadapan, selain penggunaan rim yang sama seperti sedan tersebut.
Di bahagian belakang, jalur lampu penuh melintang milik Saga MC3 disesuaikan pada badan MPV ini, bersama kemasan hitam pada bahagian bawah bampar yang menampilkan elemen seakan diffuser. Oleh kerana grafik lampu Saga berbeza daripada rekaan asal Ertiga yang memanjang ke D-pillar, garis bawah cermin belakang turut diratakan bagi memberikan padanan visual yang lebih kemas.
Dari segi rangkaian kuasa, Proton sebelum ini mendedahkan bahawa salah satu SUV berasaskan AMA serta MPV ini akan menggunakan enjin DHE (Dedicated Hybrid Engine) versi NA dengan port injection daripada keluarga enjin i-GT. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi “DHT120”, yang membayangkan tahap kuasa lebih rendah berbanding model plug-in hybrid seperti Proton eMas 7.
Buat masa ini, semua imej yang beredar hanyalah gambaran tidak rasmi. Namun dengan fleksibiliti platform AMA dan perancangan produk baru Proton, tidak mustahil MPV kompak berasaskan Saga bakal menjadi realiti dalam masa terdekat.
The post Proton Saga MPV dibayangkan melalui lukisan digital appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















