Honda Malaysia hari ini memperkenalkan versi kemaskini untuk CR-V generasi ke-enam untuk pasaran tempatan, yang bukan sahaja menampilkan beberapa perubahan perincian, malah barisan variannya juga telah dirombak.

Bagi model 2026 ini, CR-V paling asas di Malaysia adalah dari versi hibrid iaitu varian e:HEV E yang dijual pada harga RM178,200. Ia diikuti satu-satunya varian dengan enjin petrol penuh iaitu CR-V V 1.5L Turbo berharga RM181,900 dan varian tertinggi pula adalah e:HEV RS berharga RM195,900. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Ini bermakna penawaran varian bagi CR-V pasaran Malaysia ini telah dikecilkan dari empat kepada hanya tiga kerana varian asas sebelum ini iaitu Honda CR-V S 1.5L Turbo (berharga RM159,900) telah digugurkan, manakala varian E sebelum ini yang dijana oleh enjin petrol penuh digantikan dengan unit rangkaian kuasa hibrid.

Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa di mana varian-varian e:HEV yang digerakkan oleh sistem hibrid menerima unit rangkaian kuasa Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) menampilkan enjin petrol 2.0L NA kitaran Atkison berkuasa 148 PS/190 Nm yang dalam kebanyakkan masa bertindak sebagai generator, manakala roda hadapan dipacu oleh motor elektrik berkuasa 184 PS/335 Nm.

Honda CR-V 2026 pasaran Malaysia dilancarkan – varian asas kini hibrid e:HEV E, bermula RM178k

Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu contohnya cruising pada kelajuan tinggi di lebuhraya, enjin petrol turut akan membantu motor elektrik untuk memacu tayar bagi memberikan kecekapan yang lebih baik, menerusi klac lock-up di dalam transmisi e-CVT yang diberikan.

Manakala varian yang digerakkan oleh enjin petrol penuh pula kekal menerima enjin L15BE 1.5L DOHC turbo empat silinder yang menghasilkan kuasa 193 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 243 Nm bermula 1,700-5,000 rpm, digandingkan bersama kotak gear CVT seperti sebelum ini.

Bagi varian dengan enjin turbo, ia dipadankan dengan set rim aloi 18-inci dalam kemasan Sparkle Silver, manakala varian-varian hibrid pula diberikan rim aloi dengan saiz sama tetapi dalam kemasan Berlina Black. Honda Malaysia menawarkan warna badan baharu iaitu Blazing Red Pearl, dan semua varian CR-V 2026 ini diberikan filem penapis haba Ecotint yang diperakui oleh Honda sebagai perincian standard.

Honda CR-V 2026 pasaran Malaysia dilancarkan – varian asas kini hibrid e:HEV E, bermula RM178k

Pada bahagian kabin pula, semua varian CR-V kini diberikan skrin Advanced Display Audio 9.0-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto hubungan tanpa wayar, serta servis-servis Google Audio bina dalam yang menawarkan fungsi seperti Google Assistant, Google Maps dan akses kepada banyak lagi aplikasi lain menerusi Google Play. Bagi varian RS, ia kini diberikan logo ‘RS’ yang ditekap pada tempat duduk.

Model 2026 ini juga menerima fungsi Digital Key, membolehkan pemilik mengunci atau membuka kunci, dan juga menghidupkan enjin menggunakan aplikasi dalam telefon pintar. Aplikasi Honda Connect juga kini menampilkan fungsi tambahan seperti cermin tingkap dan pintu tailgate berkuasa yang dioperasikan pada jarak jauh.

Honda Malaysia juga telah menggantikan sistem LaneWatch kepada sistem Informasi Titik Buta (BSI) dan juga ia kini menerima sistem Pemantau Lintasan Trafik belakang.

The post Honda CR-V 2026 pasaran Malaysia dilancarkan – varian asas kini hibrid e:HEV E, bermula RM178k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts