Model generasi kedua bagi Peugeot 3008 mula diperkenalkan pada tahun 2017 dan diberi facelift pada 2021. Walaupun usianya kini mencecah sembilan tahun dan generasi ketiga telah pun didedahkan pada 2023, Stellantis Malaysia masih meneruskan jualan model ini di pasaran tempatan. Ia diberikan kemas kini yang sangat minimum sementara menunggu ketibaan barisan model Peugeot baru yang dibangunkan khusus untuk pasaran ASEAN.
Dari segi harga, Peugeot 3008 ini secara rasmi masih ditawarkan pada RM169,388. Namun begitu, rebat sebanyak RM31,388 menjadikan harga efektifnya turun kepada RM138,000. Model ini turut didatangkan dengan jaminan selama tujuh tahun atau 200,000 kilometer, merangkumi tiga tahun jaminan kilang dan tambahan empat tahun jaminan lanjutan.
Perubahan yang dilakukan adalah kecil dan lebih tertumpu kepada identiti korporat baru Peugeot. Logo perisai terkini dipaparkan pada jeriji hadapan, bahagian tengah stereng serta paparan instrumen digital i-Cockpit bersaiz 12.3 inci. Tulisan Peugeot pada pintu but belakang juga menggunakan reka bentuk baru yang lebih tajam dan moden, sama seperti lencana 3008. Namun begitu, kemasan plat tepi masih mengekalkan bentuk lama jenama ini.
Bahagian luaran turut menerima rekaan rim baru bersaiz 18 inci dengan kemasan dua tona gaya turbin, yang sebelum ini digunakan pada 408 Premium. Selain itu, senarai kelengkapan kekal seperti versi sebelum ini.
Ia merangkumi lampu utama LED dengan lampu siang berbentuk “cakar”, lampu belakang LED “tiga cakar”, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, penyaman udara automatik dua zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa enam hala, penukar gear paddle shifter, bumbung suria panoramik serta skrin sentuh infotainmen 10 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disertakan ialah enam pembesar suara, kamera undur dan pintu but berkuasa dengan fungsi bebas tangan.
Dari aspek keselamatan, Peugeot 3008 dilengkapi enam beg udara, kawalan kestabilan, kawalan turun bukit serta beberapa sistem bantuan pemandu asas seperti pemantauan titik buta, bantuan kekal lorong, pengecaman papan tanda trafik dan pemantau tahap keletihan pemandu. Bagaimanapun, ia tidak dilengkapi sistem brek kecemasan autonomous walaupun mempunyai kamera pada cermin hadapan, satu kekurangan yang agak ketara bagi model dalam julat harga ini.
Di bawah bonet, tiada perubahan dilakukan. Ia masih menggunakan enjin petrol empat silinder 1.6 liter THP turbo yang menghasilkan 165 PS pada 6,000 rpm dan 240 Nm tork seawal 1,400 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan Aisin. Walaupun kekal dengan pacuan roda hadapan, model ini dilengkapi sistem Advanced Grip Control, iaitu sistem kawalan cengkaman yang dipertingkatkan bagi membantu pemanduan di permukaan mencabar secara ringan.
Dengan penerapan identiti korporat terbaru pada model yang sudah berusia hampir sedekad ini, kemungkinan untuk melihat 3008 generasi baru dilancarkan dalam masa terdekat dilihat semakin tipis, meskipun model tersebut pernah dikesan di Malaysia dan sebelum ini disahkan bakal memasuki pasaran. Menurut Ketua Stellantis ASEAN, Isaac Yeo, barisan model Peugeot terbaru mempunyai kos yang terlalu tinggi untuk pasaran tempatan, terutamanya dalam persaingan dengan model-model China yang lebih berorientasikan nilai.
The post Peugeot 3008 2026 pasaran Malaysia terima sedikit kemas kini – tiada AEB, rebat RM31k, menjadi RM138k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























































































