Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan sebanyak 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 Mac hingga 29 Mac 2026 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk memenuhi permintaan tinggi orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman.

Menurut KTMB, daripada jumlah tersebut, 18 perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan lapan perkhidmatan EMUPlus akan beroperasi sebagai langkah proaktif susulan tiket perkhidmatan sedia ada yang hampir habis terjual bagi tempoh berkenaan.

“Sepanjang tempoh operasi, tren ETS tambahan dan EMUPlus akan menyediakan 8,118 tempat duduk sehari, termasuk pilihan Kelas Perniagaan, menjadikan jumlah keseluruhan 105,534 tempat duduk bagi menampung lonjakan penumpang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

KTMB sediakan 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 hingga 29 Mac 2026 sempena Aidilfitri

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan tempat duduk yang ditawarkan sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah sebanyak 285,714 yang merangkumi 70 perjalanan sehari dengan purata harian 21,978 tempat duduk,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Bagi perkhidmatan ETS, ia melibatkan lapan perjalanan laluan JB Sentral – KL Sentral – JB Sentral, enam perjalanan laluan Ipoh – KL Sentral – Ipoh, dua perjalanan laluan Butterworth – KL Sentral – Butterworth dan dua perjalanan laluan Padang Besar – KL Sentral – Padang Besar. Manakala untuk perkhidmatan EMUPlus pula, ia membabitkan lapan perjalanan laluan Ipoh – KL Sentral – Ipoh.

KTMB turut berkata, sebanyak 10 perjalanan tren ETS tambahan telah mula dijual sejak semalam (1 Mac 20260), manakala baki 16 perjalanan akan diumumkan dalam masa terdekat.

KTMB sediakan 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 hingga 29 Mac 2026 sempena Aidilfitri

Untuk Perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) edisi Pantai Timur pula, KTMB memaklumkan ia akan beroperasi pada 18 Mac bagi laluan KL Sentral – Tumpat dan 22 Mac bagi laluan Tumpat – KL Sentral. Sebanyak 792 tiket ditawarkan termasuk koc tempat tidur bagi perkhidmatan ini.

Perkhidmatan ini menawarkan koc tempat tidur superior dengan 120 katil bagi setiap perjalanan, selain koc tempat duduk Kelas Premier dan Kelas Superior, bagi memberikan pilihan perjalanan yang lebih selesa dan fleksibel kepada penumpang. Tambang sehala ditawarkan bermula serendah RM80 bagi Kelas Superior dan tambang bagi tempat tidur Kelas Superior RM90 (katil atas) dan RM95 (katil bawah) serta RM95 bagi Kelas Premier.

Bagi perkhidmatan ELA edisi Utara, tren khas ini melibatkan laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral. Tren ini akan beroperasi dengan empat perkhidmatan, pada 17 Mac dan 22 Mac bagi laluan KL Sentral – Padang Besar serta 18 Mac dan 23 Mac bagi laluan Padang Besar – KL Sentral. Sebanyak 1,200 tiket ditawarkan bagi koc tempat duduk Kelas Superior dengan kadar tambang RM70 sehala.

KTMB sediakan 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 hingga 29 Mac 2026 sempena Aidilfitri
KTMB sediakan 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 hingga 29 Mac 2026 sempena Aidilfitri

“Tiket-tiket bagi perkhidmatan khas ini masih lagi terdapat kekosongan tempat duduk dan kepada para penumpang yang ingin merasai pengalaman untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki tren konvensional, boleh membuat pembelian di aplikasi KITS Style, laman sesawang KTMB atau mesin kios KTMB di stesen terpilih.

KTMB berkata inisiatif ini merupakan komitmen berterusan syarikat ini dalam memastikan rakyat Malaysia menikmati perjalanan yang selesa, selamat dan efisien pada musim perayaan, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya dan menyokong mobiliti awam negara.

“KTMB menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan membuat pembelian tiket seawal mungkin bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan kehabisan tiket pada saat akhir. Penumpang juga dinasihatkan supaya tiba lebih awal di stesen bagi melancarkan proses pemeriksaan keselamatan dan dokumentasi di pintu masuk,” kata KTMB lagi.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melayari platform media sosial rasmi KTMB untuk mendapatkan maklumat terkini.

The post KTMB sediakan 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 hingga 29 Mac 2026 sempena Aidilfitri appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts