Toyota sekali lagi dinobotkan sebagai pengeluar automotif paling laris apabila mencatatkan jualan tahunan sebanyak 11.32 juta unit kenderaan pada 2025. Bukan itu sahaja, jualan yang dicatatkan ini juga adalah 4.64% lebih banyak dari rekod jualan Toyota pada tahun sebelumnya. Angka-angka yang disebut ini adalah jualan keseluruhan jenama di bawah Toyota termasuk Lexus, Daihatsu dan Hino.
Berdasarkan laporan kewangan yang disiarkan oleh pelbagai pemain utama dalam industri, tempat kedua untuk pengeluar automotif paling laris di dunia bagi 2025 disandang oleh Volkswagen, di mana kumpulan automotif Jerman yang turut menaungi jenama seperti Porsche, Audi, Skoda dan lain-lain itu mencatatkan jualan sebanyak 8.98 juta unit, jatuh 0.51% berbanding 2024.
Manakala Hyundai pula berada di tempat ketiga dengan jualan sebanyak 7.27 juta unit, naik 0.6% berbanding tahun sebelumnya. Jenama dari Amerika Syarikat, General Motors pula berada di tempat keempat dengan jualan 6.18 juta kenderaan, atau naik sebanyak 3.03%. Tempat kelima pula adalah Stellantis, di mana kumpulan automotif yang terdiri dari 14 jenama tersebut mencatatkan jualan keseluruhan 5.48 juta untuk 2025, naik 1.27% berbanding 2024.
Jenama dari China, BYD berada di tempat keenam dalam carta ini dengan jualan sebanyak 4.6 juta unit (+7.72%), diikuti satu lagi jenama senegara iaitu SAIC yang berada di tempat ke tujuh yang berjaya menjual 4.51 juta unit kenderaan sepanjang tahun lalu (+12.33%).
Dua jenama China tersebut berjaya memintas Ford yang jatuh ke tempat ke lapan tahun ini, dengan rekod jualan 4.4 juta unit, kurang 1.68% berbanding jualan yang dicatatkan pada tahun lalu. Satu lagi gergasi automotif China iaitu Geely berada di tempat ke sembilan dengan jualan sebanyak 4.12 juta unit untuk 2025, naik mendadak sehingga 26.05% berbanding rekod jualan tahun sebelumnya.
Honda pula berada di tempat ke-10 dengan jualan sebanyak 3.52 juat unit, di mana jenama warisan Jepun tersebut mencatatkan penurunan jualan sebanyak 7.53% berbanding tahun sebelumnya.
Data-data yang disebutkan ini telah dikompilasikan oleh CLS, dan media-media dari China menyebut bahawa jualan kenderaan di negara tersebut tahun lalu telah mencecah sebanyak 34.4 juta unit, manakala eksport pula mencecah tujuh juta unit iaitu jumlah eksport tertinggi di dunia untuk 2025.
The post Toyota masih pengeluar automotif paling laris di dunia untuk 2025 – BYD, SAIC dan Geely juga dalam Top 10 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















