Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenakan penalti Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) sebanyak RM9.1 juta terhadap kontraktor aerotrain KLIA, ALSTOM IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech Joint Venture).
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), penalti yang dikenakan itu adalah disebabkan kegagalan pihak kontraktor menyiapkan projek aerotrain baharu di KLIA. Penalti berkenaan dikenakan selama 91 hari, bermula pada 1 April hingga 30 Jun 2025.
“Seperti termaktub dalam kontrak, jumlah LAD dikenakan adalah RM100,000 sehari atau jumlah keseluruhan sebanyak RM9.1 juta,” kata MOT dalam jawapan bertulis di portal rasmi Parlimen Malaysia.
Kementerian itu menjawab soalan daripada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah nilai LAD atau penalti yang dikenakan oleh MAHB terhadap kontraktor Alstom IJM-Pestech Joint Venture ekoran kegagalan menyampaikan projek Aerotrain baharu secara memuaskan.
Aerotren baharu KLIA memulakan operasinya dengan permulaan yang kurang lancar, namun awal bulan ini, MAHB memaklumkan bahawa penilai rel bebas mengesahkan sistem tersebut beroperasi seperti yang dirancang, dengan gangguan perkhidmatan disifatkan sebagai perkara biasa pada fasa awal operasi sistem rel yang kompleks.
Penilai itu mendapati bahawa gangguan tersebut tidak menimbulkan risiko keselamatan kerana kawalan kejuruteraan berstruktur dan pemantauan berterusan disediakan untuk menguruskan isu-isu tersebut dengan berkesan.
The post MAHB kenakan penalti LAD RM9.1j terhadap kontraktor aerotrain – lewat 91 hari, RM100k sehari appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















