Selain membawa semula CR-V ke Jepun, Honda turut melakukan kemaskini terhadap ZR-V, model yang mengisi kekosongan apabila CR-V buat sementara waktu dikeluarkan daripada barisan model tempatan. Turut dikenali sebagai HR-V pasaran Amerika Syarikat, ZR-V diposisikan sebagai crossover segmen-C yang berkongsi asas dengan Civic generasi ke-11 dan berada di antara HR-V dan CR-V dari segi saiz.
Dijadualkan mula dijual pada Mac tahun ini, ZR-V versi baharu menggugurkan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan kini ditawarkan secara eksklusif sebagai model hibrid. Rangkaian kuasa e:HEV yang digunakan adalah enjin petrol 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris yang beroperasi mengikut kitaran Atkinson, menghasilkan 141 PS (139 hp atau 104 kW) dan 182 Nm.
Enjin ini menjana elektrik melalui motor elektrik untuk mengecas bateri, yang seterusnya membekalkan kuasa kepada motor pacuan berasingan dengan output 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 315 Nm. Apabila perlu, transmisi e-CVT boleh menyambungkan enjin secara terus untuk memacu roda.
Varian yang ditawarkan juga telah dikurangkan daripada dua kepada hanya satu, dengan varian X digugurkan dan hanya varian Z dikekalkan. Versi Black Style dan Cross Touring turut diperkenalkan, menjadikan jumlah keseluruhan konfigurasi ZR-V sebanyak tiga.
Black Style dikenali menerusi gril honeycomb yang menggantikan rekaan bilah menegak sebelum ini, manakala Cross Touring dianggap sebagai “edisi khas” dengan penampilan luaran yang lebih lasak. Ini termasuk panel sisi bawah (pilihan aksesori pengedar) serta bampar hadapan berbeza dengan skid plate yang disertakan bersama. Bahagian dalaman pula menggunakan tona warna yang lebih cerah dengan jahitan berwarna jingga, bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang gemarkan aktiviti luar. Maklumat lanjut termasuk harga akan diumumkan bulan hadapan.
The post Honda ZR-V dikemaskini di Jepun – hanya ditawarkan versi hibrid sahaja; edisi Cross Touring, Black Style appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

































