Tahun ini merupakan tahun terakhir FIA menggunakan undang-undang Rally1 sebagai kategori tertinggi dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC), di mana tahun depan ia akan digantikan dengan undang-undang baharu yang dikenali sebagai Rally1 WRC27. Dan nampaknya Toyota kini sedang mendahului pembinaan jentera dengan spesifikasi baharu tersebut di mana prototaip kereta rali WRC27 pasukan berkenaan telah dilihat sedang diuji di Algarve, Portugal.

Dan apa yang lebih menarik, menerusi video dan imej yang dirakamkan oleh pengguna Facebook bernama Marcio Pereira (yang kemudiannya semua telah dipadamkan), Toyota tidak lagi menggunakan badan hatchback GR Yaris untuk jentera WRC27 ini, sebaliknya menampilkan badan coupe dua-pintu misteri yang mempunyai but pendek di belakang!

Bagi yang belum mengetahui, WRC27 merupakan undang-undang baharu yang diformulasikan oleh FIA bagi menarik minat lebih banyak pasukan untuk menyertai kategori tertinggi WRC, di mana ia sekarang hanya disertai oleh tiga pasukan iaitu Toyota, Hyundai dan M-Sport Ford.

Untuk WRC27, semua pasukan perlulah menggunakan casis spaceframe yang dibina berdasarkan blueprint sama yang dikeluarkan oleh FIA, sama seperti undang-undang Rally1 sedia ada, tetapi menggunakan unit rangkaian kuasa yang diambil dari jentera spesifikasi Rally2 termasuk enjin 1.6 liter turbo dengan restrictor berdiameter 32 mm (menghasilkan kuasa sekitar 290 hp), kotak gear lima kelajuan sequential tanpa pedal pada roda stereng dan juga sistem pacuan semua roda.

Toyota uji jentera WRC27 – bukan GR Yaris, tapi coupe 2-pintu misteri; ini prebiu GR Celica generasi baharu?

Untuk ini, jentera Rally1 WRC27 Toyota tersebut berkemungkinan menggunakan semua kelengkapan mekanikal yang diambil dari jentera lumba GR Yaris Rally2, termasuk enjin 1.6 liter tiga silinder turbo (boleh dengar dengan jelas pada video di mana bunyi enjinnya memang sama) berbanding GR Yaris Rally1 sedia ada yang sebenarnya menggunakan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo dari jentera Yaris WRC sebelum itu.

Syarat-syarat yang dibuat ini adalah untuk mengurangkan kos pembinaan setiap jentera lumba di mana FIA menetapkan kos puncak pada €345,000 (sekitar RM1.6 juta) untuk sebuah kereta dalam spesifikasi tarmac, atau kira-kira 50% lebih murah berbanding jentera Rally1 sedia ada. Selain kos yang lebih murah ini, FIA turut memudahkan proses homologasi kerana setiap jentera tidak semestinya dibina berdasarkan model produksi jalan raya, tetapi ia juga boleh tampil sebagai model konsep atau prototaip, dan bentuk badan juga lebih bebas di mana setiap pasukan boleh menampilkan sama ada badan sedan, coupe, hatchback mahupun SUV.

Pasukan yang bertanding juga tidak semestinya dari pengeluar automotif, di mana ia juga turut boleh disertai oleh syarikat-syarikat penala (Tuner). Dan untuk melepasi syarat homolagasi ini juga, pasukan yang membina jentera Rally1 WRC27 perlu menghasilkan sekurang-kurangnya 10-jentera lumba yang sama, di mana ia bukan sahaja boleh digunakan oleh pasukan rasmi, malah turut boleh dijual kepada pasukan-pasukan persendirian dalam program perlumbaan pelanggan.

Untuk Toyota, ia pasti akan menggunakan badan yang mewakili model produksi yang dijual di bilik pameran untuk tujuan pemasaran. Badan coupe dua-pintu yang digunakan ini berkemungkinan berdasarkan GR Celica generasi baharu di mana model tersebut telah dicanangkan untuk diperkenalkan oleh Toyota pada masa hadapan. Dengan undang-undang WRC27 ini sebenarnya membolehkan Toyota bertanding dalam WRC terlebih dahulu dengan GR Celica sebelum model produksinya dijual dalam pasaran.

Toyota uji jentera WRC27 – bukan GR Yaris, tapi coupe 2-pintu misteri; ini prebiu GR Celica generasi baharu?

Sebelum adanya Yaris, penampilan Toyota dalam WRC sering dibawa oleh Celica bermula dengan model generasi pertama Celica RA20 yang menyertai kejohanan tersebut dalam kategori Group 4 pada 1974. Ia kemudian diikuti oleh Celica RA40 Group 4 (1980), Celica RA63 Group 4 (1982), Celica Twin Cam Turbo TA64 Group B (1983), dan Celica GT-Four Group A (1989 – 1995) dari generasi ST165, ST185 dan ST205 yang menyaksikan Toyota merangkul dua gelaran juara dunia untuk kategori pengeluar dan empat untuk kategori pemandu.

Selepas video-video dan imej-imej unit ujian ini tular semalam, tiada sebarang kenyataan rasmi lagi dikeluarkan oleh Toyota. Namun dalam laporan DirtFish, pengarah teknikal pasukan Toyota Tom Fowler mengesahkan ujian prototaip tersebut memang sedang dijalankan.

“Pada saat ini kami telahpun menguji kereta ujian prototaip kami. Pasukan rekaan sedang menumpukan pada semua maklum balas yang diberikan kereta tersebut dan kami kini sedang bekerja untuk menyelesaikan masalah yang timbul serta membuat penambahbaikan.

“Sasaran asal adalah untuk mula menguji kereta ini pada 2026. Kami dah capai sasaran itu. Kereta itu telah diuji dalam beberapa ujian dan ia sudahpun bergerak lebih dari 2,000 km. Saya tak boleh bagitahu angka sebenar,” kata Fowler.

The post Toyota uji jentera WRC27 – bukan GR Yaris, tapi coupe 2-pintu misteri; ini prebiu GR Celica generasi baharu? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts