Walau pun pihak berkuasa tempatan (PBT) giat menangani isu kenderaan terbiar, secara umumnya, ia hanya melibatkan kawasan awam. Namun penguatkuasaan terhadap kenderaan yang ditinggalkan di kawasan strata milik persendirian sukar untuk dilaksanakan, laporan New Straits Times.
Melainkan terdapat permohonan rasmi atau kerjasama daripada badan pengurusan bersama (JMB) atau perbadanan pengurusan (MC) bagi hartanah terlibat, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu.
“Bagi kawasan kediaman berstrata yang telah menubuhkan JMB atau MC, ia tertakluk sepenuhnya kepada Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2015. Di bawah peruntukan akta tersebut, sebaik sahaja JMB atau MC ditubuhkan secara sah, badan berkenaan mempunyai kuasa dan tanggungjawab perundangan sepenuhnya untuk mengurus, mengawal selia dan mentadbir semua perkara dalam harta bersama, termasuk isu melibatkan kenderaan terbiar di kawasan parkir dan laluan akses bersama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai langkah kementerian untuk menggubal undang-undang kecil bagi membolehkan PBT mengambil tindakan terhadap kenderaan terbiar di kawasan kediaman berstrata.
Sehubungan dengan itu, katanya lagi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melaksanakan semakan menyeluruh terhadap garis panduan pengurusan kenderaan terbiar yang dikeluarkan pada tahun 2020, dan penambahbaikan terhadap garis panduan tersebut melibatkan beberapa langkah.
Langkah pertama ialah menggunakan Seksyen 65 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sebagai instrumen tambahan bagi membolehkan pelupusan kenderaan dibuat tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang. Langkah kedua pula adalah melalui cadangan pindaan bagi memperluaskan kuasa penguatkuasaan kepada semua kategori pihak berkuasa tempatan serta memperjelaskan skop kawasan yang boleh dikuatkuasakan.
Manakala langkah ketiga melibatkan mewujudkan mekanisme pelupusan kenderaan secara sukarela melalui sistem e-Dereg yang dibangunkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bagi menyediakan kaedah pelupusan yang lebih cepat dan mesra pengguna, katanya.
The post PBT perlukan kerjasama JMB untuk penguatkuasaan terhadap kenderaan terbiar di kawasan strata – KPKT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















