Nampak gayanya permasalahan yang dihadapi oleh perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya makin meruncing. Hari ini sahaja, beberapa buah tren telah dikeluarkan daripada perkhidmatan akibat gangguan teknikal.

Insiden pertama berlaku pada jam 7.05 pagi apabila sebuah tren dikeluarkan daripada perkhidmatan di stesen Putra Heights. “Tren telah dikeluarkan daripada perkhidmatan di stesen Putra Heights berikutan gangguan teknikal. Ini akan menjejaskan kekerapan tren buat sementara waktu, yang akan diselaraskan secara automatik,” menurut hantaran Rapid KL.

Mesej yang sama turut dimuat naik pada jam 7.25 pagi (Putra Heights), 7.43 pagi (KLCC), 7.49 pagi (Taman Bahagia), 8.51 pagi (Kerinchi) dan 9.37 pagi (Dato Keramat) sepanjang waktu puncak pagi. Sebuah lagi tren dikeluarkan daripada perkhidmatan pada jam 12.47 tengah hari di Pasar Seni.

Beberapa buah tren LRT Laluan Kelana Jaya dikeluarkan dari perkhidmatan hari ini

Terbaharu, Rapid KL memuat naik mesej sama memaklumkan bahawa sebuah tren telah dikeluarkan daripada perkhidmatan di stesen Universiti pada jam 4.25 petang. Beberapa minit kemudian, pada jam 4.28 petang, sebuah lagi tren telah dikeluarkan di stesen Kelana Jaya akibat kerosakan teknikal. Keadaan dipercayai masih tidak stabil buat masa ini dan dengan beberapa tren tidak beroperasi, kelewatan dijangka berlaku. Oleh itu, penumpang dinasihatkan merancang perjalanan atau mencari pengangkutan alternatif untuk pulang ke rumah.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menjalankan siasatan susulan masalah yang sama bagi perkhidmatan LRT ini, dengan dua gangguan pada hari Selasa – satu pada waktu pagi dan satu lagi pada sebelah petang, sehingga menimbulkan kekecewaan dan kemarahan di kalangan penumpang.

“Saya memandang serius gangguan perkhidmatan yang berlaku melibatkan Laluan LRT Kelana Jaya pada permulaan Ramadan. Orang ramai berhak mengharapkan perkhidmatan yang lebih cekap dan boleh dipercayai,” kata Loke, sambil menambah bahawa beliau telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana untuk memberikan penjelasan penuh dalam mesyuarat pasca-Kabinet kementerian.

The post Beberapa buah tren LRT Laluan Kelana Jaya dikeluarkan dari perkhidmatan hari ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts