Jalan yang dibina di atas tanah kerajaan tidak dibenarkan dijual atau dipindah milik kepada pihak swasta, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Syed Ibrahim Syed Noh. Memandangkan ia merupakan aset strategik negara, penglibatan sektor swasta hanya terhad kepada pengurusan atau penyelenggaraan jalan melalui perjanjian konsesi, tanpa menjejaskan pemilikan kerajaan atau status jalan tersebut sebagai jalan awam.

Ahli Parlimen Ledang itu menambah bahawa sebarang penutupan, pelupusan atau perubahan status jalan awam tertakluk kepada pewartaan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 828).

“Proses ini melibatkan penelitian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan, kelulusan oleh pihak berkuasa negeri, serta keperluan menyediakan laluan alternatif yang setara atau lebih baik sekiranya akses awam terjejas,” katanya di Dewan Rakyat semalam, laporan Bernama.

Tambahnya, Kerajaan mengamalkan proses penilaian berperingkat yang merangkumi pengesahan status tanah, penilaian teknikal oleh JKR dan pihak berkuasa tempatan dari segi keselamatan, kapasiti serta kebolehcapaian, selain syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri supaya laluan alternatif yang setara atau lebih baik disediakan sebelum sebarang perubahan dilaksanakan.

The post Jalan yang dibina di atas tanah k’jaan tidak dibenarkan dijual, dipindah milik kepada swasta – NRES appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts