Isu perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang sering kali mengalami gangguan teknikal kerap kali mencetuskan kemarahan di kalangan para penggunanya. Malah kelmarin, perkhidmatan tren tersebut mengalami gangguan dua kali sehari dan menyebabkan kesesakan luar biasa di stesen-stesen utama seperti Sri Rampai, KL Sentral, dan Masjid Jamek. Ini menimbulkan tanda tanya di kalangan para penggunanya berhubung tahap penyelenggaraan dan kecekapan pengurusan Prasarana selaku pengendali perkhidmatan rel ini.

Prasarana menerusi anak syarikatnya, Rapid KL, mengesahkan kelewatan berpunca daripada sebuah tren yang terpaksa dipandu secara manual antara Stesen Asia Jaya dan Taman Bahagia. Walaupun perkhidmatan dilaporkan telah pulih, pengguna masih berdepan kesesakan melampau malah ada juga penumpang pitam disebabkan suhu panas di platform.

Susulan insiden gangguan yang berulang ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyiasat masalah tersebut dan mengambil tindakan terhadap Prasarana sekiranya terbukti berlaku kelemahan operasi yang tidak munasabah.

LRT Laluan Kelana Jaya: APAD diarah siasat insiden gangguan berulang, Prasarana diminta penjelasan
LRT Laluan Kelana Jaya: APAD diarah siasat insiden gangguan berulang, Prasarana diminta penjelasan

Sumber foto: Laman sosial media

“Saya memandang serius beberapa insiden gangguan melibatkan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada awal Ramadan ini. Rakyat berhak menuntut mutu perkhidmatan yang lebih efisien dan boleh diharap.

“Saya telah mengarahkan CEO Prasarana untuk memberi penjelasan dalam mesyuarat pasca-kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera,” katanya yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya.

Disebabkan isu sebeginilah para pengguna pengangkutan awam seringkali mengeluh dan marah kerana kualiti perkhidmatan yang ‘dianggap’ kurang bermutu. Ramai yang bersetuju bahawa pengangkutan awam bukanlah sekadar pilihan tetapi ia adalah keperluan. Untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, ramai yang memilih menaiki tren khususnya ke tempat kerja. Tetapi kalau sering kali berhadapan dengan isu sebegini, apa lagi pilihan yang ada untuk rakyat jelata?

The post LRT Laluan Kelana Jaya: APAD diarah siasat insiden gangguan berulang, Prasarana diminta penjelasan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts