Penguatkuasa JPJ dibaling mercun oleh mat rempit ketika rondaan berhampiran Lebuhraya LATAR

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor mengesahkan insiden pegawai penguatkuasanya yang dibaling mercun oleh sekumpulan penunggang motosikal sewaktu sedang melakukan operasi trafik berhampiran Lebuhraya LATAR pada malam kelmarin, laporan Buletin TV3.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika sepasukan anggota JPJ menjalankan rondaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar Lebuhraya LATAR dan kawasan Tasik Puteri sebelum menahan sebuah motosikal di Jalan Tasik Puteri. Motosikal berkenaan ditahan selepas penunggang dan pemboncengnya didapati tidak memakai topi keledar selain tiada lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans. Susulan itu, notis kesalahan dikeluarkan terhadap kedua-dua individu terbabit.

Walau bagaimana pun, ketika pegawai JPJ sedang mengeluarkan notis, sekumpulan penunggang motosikal dianggarkan antara 20 hingga 30 orang didakwa mula membaling mercun beberapa kali dari kawasan bukit berhampiran deretan kedai baharu. Malah sebahagian daripada kumpulan itu kemudian menghampiri anggota penguatkuasa dan penunggang yang disaman sebelum beredar dari lokasi.

Penguatkuasa JPJ dibaling mercun oleh mat rempit ketika rondaan berhampiran Lebuhraya LATAR

Beberapa individu yang masih berada di tempat kejadian terus membaling mercun ke arah pegawai JPJ dan penunggang terbabit, manakala yang lain didakwa melakukan provokasi di lampu isyarat berhampiran dengan mengaumkan ekzos motosikal serta menjerit kata-kata kesat. Atas faktor keselamatan, pasukan JPJ beredar selepas selesai tindakan penguatkuasaan.

Susulan kejadian tersebut, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, berkata pihaknya memandang serius perbuatan itu kerana boleh mengundang risiko kepada anggota penguat kuasa serta pengguna jalan raya lain.

“Kami tidak berkompromi dengan mana-mana pihak menghalang tugas penguatkuasaan atau bertindak agresif terhadap pegawai yang menjalankan tanggungjawab. Saya sudah mengarahkan anggota terbabit membuat laporan polis berhubung insiden itu,” katanya.

Tambahnya, JPJ akan terus melaksanakan operasi berfokus bagi memastikan pematuhan undang-undang trafik dan menggesa orang ramai menghormati anggota penguat kuasa serta mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

The post Penguatkuasa JPJ dibaling mercun oleh mat rempit ketika rondaan berhampiran Lebuhraya LATAR appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts