Pasaran Jepun telahpun menerima SUV segmen-C Toyota RAV4 generasi ke-6 pada Disember tahun lalu, di mana ketika itu ia hanya ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid dalam dua gred varian berbeza. Dan kini pasaran tersebut turut menerima RAV4 dalam satu lagi versi unit rangkaian kuasa iaitu plug-in hybrid (PHEV) dan ia turut ditawarkan dalam dua gred varian – Z dan juga GR Sport yang lebih sporty.
Untuk versi PHEV ini, ia masih menampilkan enjin petrol A25A-FXS 2.5 liter empat-silinder sebaris yang dibantu oleh motor elektrik, digandingkan bersama kotak gear E-CVT. Ia datang standard dengan sistem pacuan semua roda E-Four, di mana sistem ini tidak menggunakan kotak pemindah mekanikal pada transmisi, sebaliknya dipadankan dengan satu lagi motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang bagi memacu roda belakang.
Menurut Toyota, secara keseluruhan unit rangkaian kuasa hibrid bersama sistem AWD E-Four pada RAV4 PHEV ini menghasilkan kuasa 329 PS, berbanding hanya 241 PS pada model HEV. Perbezaan utama antara dua versi ini sudah tentulah pada saiz bateri di mana versi PHEV diberikan bateri yang lebih besar dan boleh dicas semula seperti kenderaan elektrik sebenar (EV).
Sistem PHEV berkenaan juga didakwa ia boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 150 km, berbanding hanya 95 km pada versi HEV. Bateri berkenaan juga menggunakan semikonduktor silikon karbida (SiC) di dalam unit kawalan kuasa (PCU) bagi mengurangkan kehilangan kuasa, dakwa Toyota.
Kenyataan yang dikeluarkan kali ini tidak menyebut berkenaan pengecas, namun ketika diperkenalkan pada peringkat global tahun lalu Toyota menyatakan bahawa bateri sistem PHEV tersebut boleh dicas semula dengan menerima sistem AC 11 kW, dan juga sistem pengecas pantas DC yang didakwa boleh memenuhkan bateri dari kadar 10-80% dalam masa sekitar 30 minit.
Sistem PHEV ini juga menawarkan fungsi di mana baterinya boleh digunakan untuk memberikan kuasa kepada peralatan-peralatan elektrik lain (ia digelar sebagai fungsi Vehicle-to-load atau V2L oleh pengeluar-pengeluar lain). Ia boleh digunakan sama ada dengan soket pada ruang kargo belakang atau menggunakan soket yang dipalam terus pada palam pengecas, memberikan soket luaran 100V yang mambpu membekalkan elektrik sehingga 1,500W secara keseluruhan.
Menurut Toyota sistem ini boleh digunakan pada masa-masa kecemasan seperti bencana alam dan sebagainya. Dengan mod HV Power Supply, ia boleh membekalkan elektrik sekitar 6.5 hari pada beban 400W bermula pada cas bateri penuh dan setangki penuh petrol. Ia juga menampilkan mod Power Supply Time Priority yang boleh memanjangkan masa tersebut sehingga sekitar 7 hari.
Untuk rupa, Toyota RAV4 Z PHEV menampilkan muka yang sama dengan Z HEV, tetapi diberikan serlahan kemasan hitam berkilat pada spoiler bawah bampar, panel-panel pelindung badan dan juga pada set rim. Ia juga diberikan lampu kabus dengan jalur LED berdiri bersama perumah yang turut diberikan kemasan hitam berkilat.
Manakala bagi varian GR Sport, ia diberikan bampar hadapan berbeza yang menampilkan gril dengan kawasan aliran udara lebih besar, spoiler bawah bampar lebih agresif, dan juga spoiler belakang lebih besar. Menurut Toyota kit badan ini dihasilkan dengan analisis komputer berulang kali (CFD) dan terowong angin bagi menghasilkan downforce bukan sahaja pada kelajuan tinggi, malah pada kelajuan sederhana dan rendah bagi menambahbaik kestabilan dan kawalan.
Bukan hanya rupa, casis untuk varian GR Sport ini turut mendapat talaan unik bagi memberikan pengendalian lebih baik. Ia termasuk penambahan GR Performance Dampers keluaran Yamaha Motors pada bahagian hadapan yang dapat mengurangkan herotan casis dan menyerap getaran daripada badan kenderaan dan ketidakstabilan semasa memandu.
Selain itu, pendakap badan tambahan GR Braces juga diberikan pada suspensi belakang, didakwa dapat memberikan rasa stereng yang lebih ‘terus’. Tidak ketinggalan penyerap hentak pada RAV4 GR Sport PHEV ini juga diberikan talaan unit yang memberikan kestabilan dan kawalan lebih baik, dan juga sistem stereng bantuan kuasa elektrik yang ditala bagi memmberikan rasa stereng lebih responsif dan tepat dalam mod Normal dan Sport.
Toyota RAV4 PHEV ini akan mula berada di pasaran Jepun pada 9 Mac 2026. Ia dijual pada harga 6,000,000 yen (RM151k) untuk varian Z PHEV dan juga 6,300,000 yen (RM159k) untuk varian GR Sport PHEV.
The post Toyota RAV4 dilancarkan di Jepun – 329 PS, jarak gerak EV 150 km, ada varian GR Sport talaan khas appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




























































