Selepas mengharamkan rekaan pembuka pintu tersembunyi, China bakal mengharamkan pula rekaan roda stereng jenis yoke yang buat masa sekarang digunakan oleh beberapa model kereta yang dijual oleh Tesla, Lexus dan beberapa jenama tempatan negara tersebut.

Ini adalah berikutan satu draf untuk menyemak semula standard keselamatan mandatori automotif yang diterbitkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China baru-baru, di mana ia telah menyisihkan semua bahan-bahan teknikal yang berkaitan dengan rekaan roda stereng yang berbentuk separuh, atau sering dirujuk sebagai roda stereng jenis yoke.

Undang-undang baharu ini akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2027, dan akan menggantikan standard yang hampir tidak diberikan rombakan besar sejak 2011. Semakan semula terhadap undang-undang tersebut dibuat atas alasan keselamatan ketika kemalangan, di mana setiap rekaan roda stereng akan menjalani ujian impak terhadap 10 kawasan sekitar bahagian ‘rim’ termasuk pada bahagian atas tengah. Rekaan roda stereng yoke ini tidak mempunyai bahagian rim atas berkenaan, dan ia secara automatik gagal dalam ujian tersebut.

China haramkan rekaan roda stereng jenis yoke bermula 1 Januari 2027 – gagal ujian pelanggaran

Menurut laporan Autohome, standard baharu ini adalah selari dengan undang-undang antarabangsa dengan mengurangkan had daya mendatar dalam ujian-ujian modul manusia 11,110N, sama dengan spesifikasi dalam undang-undang UN R12. Toleransi yang lebih ketat untuk gerakan kolum stereng ke depan dan ke belakang semasa perlanggaran juga ditetapkan dalam draf berkenaan.

Selain itu, piawaian baharu ini juga menghapuskan sebarang pengecualian untuk ujian impak manusia yang sebelum ini dibenarkan di bawah syarat-syarat tertentu. Semua model kenderaan kini dikehendaki lulus ujian pengesahan ini, tanpa mengira keadaan.

Jadi semua kenderaan baharu yang memohon kelulusan jenis (Type Approval) di China perlulah mematuhi undang-undang berkenaan pembuka pintu dan juga roda stereng yang telah dirombak ini bermula 2027. Model-model sedia ada yang sebelum ini diluluskan dengan undang-undang lama diberikan tempoh peralihan sekitar 13 bulan untuk menukar rekaan masing-masing.

The post China haramkan rekaan roda stereng jenis yoke bermula 1 Januari 2027 – gagal ujian pelanggaran appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts