Jadual bagi perkhidmatan KTM Komuter antara Kuala Lumpur dan Seremban akan disemak semula bagi mengurangkan waktu menunggu dan memendekkan tempoh perjalanan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke seperti dilaporkan Bernama.

“Perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur mengalami kelewatan. Ramai penumpang melaporkan perjalanan mengambil masa satu jam 45 minit, dan kadangkala sehingga dua jam. Kelewatan ini berpunca daripada kerja-kerja naik taraf landasan yang sedang dijalankan di sepanjang laluan tersebut. Beberapa seksyen dikurangkan kepada satu landasan sahaja, sekali gus menjejaskan kelancaran pergerakan tren,” kata Loke. Beliau turut berkata bahawa perbincangan untuk menambah baik perkhidmatan akan diadakan selepas Tahun Baharu Cina.

Stesen kereta api Seremban kini sedang dinaik taraf bagi integrasi yang lebih baik dengan hab Seremban Sentral yang bakal dibangunkan bersebelahan. Keadaan ini telah menyebabkan sedikit kesulitan kepada penumpang, dan Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban merayu agar orang ramai agar memahami situasi tersebut.

“Kami sedang melakukan yang terbaik, namun stesen baharu itu dijangka mengambil masa setahun lagi untuk disiapkan. Kami berharap ia akan memberikan keselesaan yang lebih baik kepada penumpang di Seremban,” katanya, sambil menambah bahawa projek Klang Valley Double Track Electrification Phase 2 (KVDT2) berjalan mengikut jadual.

“Projek ini sememangnya mencabar kerana kerja-kerja perlu dijalankan di landasan yang masih aktif. Ketika kerja dilakukan di satu landasan, tren masih beroperasi di landasan yang satu lagi. Faktor keselamatan mengehadkan tempoh masa jentera boleh berada di atas landasan setiap hari, yang secara semula jadi memperlahankan kerja pembinaan,” jelasnya.

The post Jadual KTM Komuter KL-Seremban akan disemak semula untuk pendekkan tempoh perjalanan – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts